‘Daripada Hidup Bercerminkan Bangkai, Lebih Baik Mati Berkalang Tanah’ – Nasihat Dr Asyraf Kepada Syed Saddiq
KUALA LUMPUR, 29 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Ketua Armada Syed Saddiq Abdul Rahman bertanyakan kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan mengapa rakyat resah dan gelisah akibat krisis politik yang menyebabkan negara tidak stabil dan ekonomi tergugat.
“Saudara patut tanya kenapa ini berlaku kepada pemimpin-pemimpin PH terdahulu.
“Semuanya angkara kerakusan dan ketamakan untuk berkuasa, berebut takhta Perdana Menteri sejak awal berkuasa sehinggalah runtuhnya kerajaan PH secara rasmi yang memangsakan rakyat,” katanya dalam satu video yang disiarkan di Facebook.
Dr Asyraf berkata demikian membidas pendirian Ahli Parlimen Muar itu di dalam Twitternya yang menolak kerjasama partinya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama parti yang dituduhnya sebagai parti yang menyalahguna kuasa dan tidak berintegriti bagi menentukan Perdana Menteri Kelapan.
Seterusnya, Dr Asyraf turut bersetuju dengan Syed Saddiq bahawa rakyat berhak mendapat negara yang lebih baik dan itulah pendirian tegas Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional.
“Benar saudara kata, rakyat berhak negara yang lebih baik. Sebab itulah kami pemimpin-pemimpin UMNO, Muafakat Nasional, PAS dan BN bersetuju untuk menyerahkan kembali mandat ini kepada rakyat dengan pembubaran Parlimen.
“Namun kami menjunjung hormat titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar kami dapat berbincang supaya dapat dielakkan (pembubaran Parlimen) kerana maslahah yang lebih besar.
“Sebab itulah kami berjiwa besar sanggup menyokong cadangan Tan Sri Muhyiddin (Presiden Bersatu) sebagai Perdana Menteri. Tetapi kami tidak akan sesekali bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin bak kata pepatah ‘ayam berkokok berderai-derai, namun ekor bergelumang tahi’,” tegasnya lagi.
Justeru itu, Dr Asyraf juga mengalu-alukan Syed Saddiq kembali kepada PH yang kini terkenal sebagai sebuah parti yang penuh hipokrasi.
“Saudara, kalau saudara ingin kembali kepada mereka, yang kononnya pejuang rakyat tetapi menipu rakyat, kononnya bersih tetapi hakikatnya penuh dengan rasuah di mana kes rasuah terowong, kes rasuah banglo boleh ditarik begitu sahaja oleh bekas Peguam Negara.
“Justeru, kalau saudara ingin kembali kepada mereka silakan, tetapi nasihat saya daripada ‘hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati berkalang tanah’,” tambahnya. – UMNO ONLINE