Dap Punca Utama Kerajaan PH Runtuh… Rasis, Anti-Nasional, Cauvinis
KUALA LUMPUR, 25 Feb – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris menegaskan bahawa krisis politik yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada Dap dan bukannya UMNO seperti yang dituduh Lim Guan Eng.
Katanya, Dap merupakan faktor utama yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang keupayaan mentadbir negara sehingga mengakibatkan ketidaktentuan politik negara.
“Kemelut politik yang berlaku pada hari ini sehingga menyebabkan kerajaan PH hilang majoriti untuk memerintah adalah berpunca daripada Dap.
“Sikap Dap yang rasis, anti nasional dan cauvinis menjadi beban utama kepada kerajaan PH sepanjang memerintah negara dan disebabkan Dap, negara tidak bergerak ke hadapan kerana sering dibelenggu isu perkauman, agama dan sebagainya sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan berkaitan situasi politik semasa.
Terang beliau lagi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, sikap Dap yang membabi buta seperti mendesak penyokong LTTE dibebaskan serta mendesak SOSMA dimansuhkan membawa padah apabila rakan komponen mereka iaitu Bersatu mengisytiharkan keluar daripada PH.
“Realitinya, UMNO adalah penyelamat kepada krisis politik negara. Ahli Parlimen UMNO memainkan peranan penting untuk mengembalikan kedaulatan negara.
“Saya yakin pemimpin UMNO akan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara kerana kita tidak pernah mengenepikan matlamat asas parti kita dan meneruskan agenda membela rakyat,” katanya lagi.
Semalam, politik negara menerima kejutan apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan melepaskan juga jawatan sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menyusul kemudian satu kenyataan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan parti itu keluar dari gabungan PH selain Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali bersama 10 Ahli Parlimen lain keluar dari PKR dan menjadi Bebas.
Seterusnya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilaporkan berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya dan dalam kenyataan yang lain pula, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan membatalkan pelantikan menteri-menteri kabinet
Berdasarkan kedudukannya sebagai perdana menteri interim, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk namun dilaporkan tiada peruntukan khas di dalam Perlembagaan yang menentukan tempoh masa untuk seseorang itu menjadi perdana menteri interim.
Mengikut perlembagaan, sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen diperlukan bagi memenangi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. – UMNO Online