Kredibiliti Semakin Punah, AG Cipta Lagi Sejarah Hitam Perundangan Negara


KUALA LUMPUR, 22 Feb – Sejarah hitam dalam sistem perundangan negara disaksikan sekali lagi apabila Peguam Negara (AG) Tommy Thomas membelakangkan prinsip ‘Rule of Law’ yang kononnya menjadi perjuangan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Demikian bidas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengenai tindakan AG PH memberhentikan serta-merta prosiding terhadap 12 individu yang didakwa terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Jumaat.

Tegas Dr Asyraf dalam satu kenyataannya, pemberhentian prosiding pendakwaan tersebut hanya mencetuskan beberapa polemik dan persoalan dalam minda rakyat.

“Apakah ini bakal menjejaskan kredibiliti badan penyiasat seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), sedangkan dalam kenyataan awal PDRM mengatakan mereka mempunyai bukti kukuh penglibatan 12 individu terbabit?

“Adakah mereka akan terkejut seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini? Soalnya.

Tambah Dr Asyaf, turut menimbulkan tanda-tanya bagaimanakah AG dapat menangani persepsi bahawa keputusan itu tiada kaitan politik untuk membebaskan pimpinan Dap, terutamanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), P Gunasekaran bagi kawasan Seremban Jaya dan G Saminathan (Gadek) sebagaimana sebelum ini kes Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng yang sudahpun bermula prosiding perbicaraannya di mahkamah turut ditarik balik.

“Bagaimanakah AG dapat menutup persepsi rakyat yang nampak seolah-olah berlakunya berat sebelah ketara berbanding pensabitan mereka yang terlibat memiliki, mengedar atau memaparkan propaganda-propaganda kumpulan pengganas IS/DAESH sebelum ini?

“Apakah yang akan terjadi pada Malaysia kelak sekiranya AG terus menerus dilihat mengamalkan pendakwaan secara terpilih?

“Apakah rakyat dan pelabur akan merasa selamat lagi untuk tinggal di bumi Malaysia kini? tanyanya lagi.

Justeru tegas Dr Asyaf, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Tommy meletakkan jawatan kerana semakin jelas kredibilitinya semakin punah di mata rakyat. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit