Aset Umat Islam, Apa Kesudahannya?
SUDAH setengah abad Tabung Haji (TH) berperanan menguruskan secara komprehensif dan sistematik untuk rakyat Malaysia menunaikan ibadah haji.
Penubuhan TH bermula atas kesedaran bagi menyediakan kemudahan kepada rakyat di negara ini menyimpan wang untuk mengerjakan haji kerana pada ketika itu tiada institusi kewangan Islam untuk umat Islam menyimpan wang bagi menunaikan haji.
Dengan tertubuhnya TH, urusan ibadat haji rakyat negara ini menjadi lebih mudah dan teratur. Malah, bagi mereka yang pertama kali ke Tanah Suci pun tidak perlu bimbang kerana TH mengurus semua keperluan mereka.
Idea penubuhan TH dicetuskan oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz, bermula dengan kajian dan memorandum bersejarah bertajuk “Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal–Bakal Haji” kepada kerajaan Malaysia pada Disember 1959.
Memorandum ini mencadangkan penubuhan sebuah badan yang boleh menyimpan wang serta menguruskan perjalanan bakal haji ke Mekah. Tabung ini akan memberi pembahagiaan keuntungan bukan pembayaran bunga (riba’) kepada penabung.
Ungku Aziz pernah menyatakan “Saya tahu Islam mengharamkan bunga (riba), iaitu bayaran tetap bagi kegunaan pinjaman wang, tetapi tidak melarang sebarang bentuk pembahagian keuntungan yang tidak ditetapkan semasa pinjaman. Jadi soal ini serta soal wang untuk ke Mekah yang saya mahu satukan”.
Cetusan dan kesedaran ini akhirnya direalisasikan pada September 1962, Rang Undang-Undang Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji telah diluluskan Parlimen. Maka lahirlah Tabung Haji yang kita dibanggakan selama ini.
Kisah kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Tabung Haji (TH) sebagai sebuah institusi Haji terbesar negara menjadi kebanggaan rakyat dan menjadi ikutan daripada negara Islam lain.
Sehingga tahun 2017, Tabung Haji telah menguruskan deposit melebihi RM73 bilion, mempunyai lebih daripada 9.4 juta pendeposit dan 125 cawangan dengan hampir 10,000 ‘touch-points’ di seluruh negara.
Perniagaan TH tidak hanya tertumpu kepada pengurusan Haji di dalam negara sahaja, malah turut menceburi bidang pelaburan di luar negara. Antaranya di Indonesia dalam sektor perladangan, dan di United Kingdom serta Australia dalam sektor kewangan Islam, teknologi maklumat, minyak dan gas, hospitaliti, pelaburan hartanah dan pembinaan.
Berpuluh tahun kerajaan BN berusaha membina TH, menambah jumlah aset dimiliki TH yang akhirnya akan memberi manfaat kepada pendeposit TH.
Di sebalik kejayaan tersebut terpalit mimpi ngeri kepada TH. Semenjak Pakatan Harapan mengemudi negara, aset-aset bernilai TH mula dijual satu-persatu tanpa mengambil kira sensitiviti pendeposit dan umat Islam.
Belum pun reda dengan isu penjualan ladang Tabung Haji Plantations, kini tular pula di media sosial berkaitan dengan penjualan atau pindah milik empat rangkaian hotel kepunyaan TH iaitu TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu. Semua hotel-hotel ini berada di lokasi strategik bahkan berdekatan dengan lapangan terbang.
Malah laporan kewangan juga menunjukkan setiap tahun hotel-hotel ini mengaut keuntungan dalam perniagaannya.
Namun penjelasan yang diberikan oleh Menteri yang bertanggungjawab mengelirukan rakyat. Hotel-hotel tersebut tidak dijual, ia hanya dipindah milik dan diteruskan operasinya di bawah pengurusan baharu yang dijenamakan semula.
Saya berpandangan sama ada dijual atau dipindah milik, ia bukan lagi menjadi milik umat Islam yang menabung dengan TH.
Ia sudah menjadi milik Urusharta Jamaah Property Management Sdn Bhd (UJPM) sebuah anak syarikat Kementerian Kewangan (MOF). Apabila kita sudah tidak memiliki, UJPM yang mengambil alih aset-aset tersebut berhak melakukan apa sahaja mengikut kehendak mereka. Hendak dijual, dihentikan operasi, dibuang pekerja sedia ada, diubah konsep patuh syariah kepada sebaliknya itu hak mereka.
Ini suatu bukti kegagalan PH mempertahankan aset milik orang Islam yang bermula dengan modal daripada pendeposit Muslim dipindahkan kepada pemilikan kerajaan yang tentunya mewakili Muslim dan bukan Muslim sedangkan ia sepatutnya kekal menjadi milik Muslim kerana ia bermula dengan Muslim dan menjadi aset umat Islam.
Sudahlah kadar hibah tahun lepas yang terendah iaitu 1.25 % kini aset pulak dipindah milik, seolah- olah pendeposit TH “sudah jatuh ditimpa tangga”. Walau apapun alasan yang diberikan oleh kerajaan, rakyat ternanti-nanti apakah kebenaran di sebalik tragedi ini.
Menteri yang bertanggungjawab wajib hentikan aktiviti menjarah dan pindah milik aset-aset umat Islam. Adakah ia satu konspirasi terancam bagi melumpuhkan ekonomi umat Islam?
Rakyat sudah menolak politik menyalahkan pihak lain atas kegagalan tadbir urus, hentikan politik menyalahkan kerajaan terdahulu kononya punca kepada kemelut yang dihadapi oleh Tabung Haji pada ketika ini.
Rakyat mula menilai siapakah sebenarnya yang mengkhianati Tabung Haji, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH)?
UMNO konsisten mendesak agar satu Suruhanjaya Di Raja (RCI) ditubuhkan untuk membuat siasatan dan kajian secara terperinci mengenai tuduhan dan dakwaan salah laku kononnya pentadbiran terdahulu yang menyebabkan TH mengalami kerugian dan segala pelan tindakan yang dibuat termasuk penjualan aset- aset umat Islam merupakan pelan pemulihan TH.
Apakah dinamakan pemulihan jika aset-aset TH milik umat Islam dipindah milik kepada pihak lain dengan sewenang-wenangnya?
Tahniah kepada seluruh pimpinan UMNO dan PAS peringkat akar umbi, bahagian dan pusat secara konsisten memberikan penjelasan dan penerangan dalam isu ini demi kepentingan umat Islam.
Saya yakin kepincangan demi kepincangan yang dilakukan oleh Kerajaan PH, memberikan kelebihan kepada kita sebagai pembangkang khususnya Muafakat Nasional.
Dengan syarat kita mampu senada dan seia dalam menguruskan setiap isu yang timbul.
Alhamdulillah, pagi tadi saya telah mengadakan pertemuan dengan beberapa NGO Islam yang menyuarakan keprihatinan dan kebimbangan mereka dengan situasi politik semasa.
Insya-Allah Muafakat Nasional dan NGO Islam akan saling bergandingan mencari titik persamaan dalam memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan ummah.
Perbezaann ‘ikhtilaf’ adalah sunnatullah yang pasti terjadi dan tidak dapat dielakkan, kepelbagaian sudut pandang dan idea adalah satu kelumrahan dalam setiap urusan dan isu. Apa yang penting adabul ikhtilaf wajib dijaga dalam setiap perbezaan demi kepentingan ummah. Ia juga bagi mengelak berlakuanya perpecahan dan pertikaian sesama sendiri.
Sepertimana firman Allah yang bermaksudnya “Sesungguhnya Allah SWT amat mencintai mereka yang berjuang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur rapi (berorganisasi) seolah-olah mereka sebuah bangunan yang terbina kukuh.” (as-Saff- 4)
Sesuatu yang mustahil jika tiada langsung pertikaian dan perselisihan dalam sesuatu keputusan dan pandangan yang dibuat khususnya dalam organisasi politik yang begitu dinamik bentuknya.
Namun jika kita merujuk kepada gagasan “Umran al- Alam” yang dihuraikan oleh Ibn Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah. Gagasan “Umran al- Alam” boleh dijadikan sebagai rujukan dan teras kepada pembangunan umat dan negara melalui Muafakat Nasional.
Kita jadikan Muafakat Nasional platform atau pentas terbaik bagi UMNO, PAS, BN, Gagasan Sejahtera dan NGO Islam bagi menarik sokongan dan membina keyakinan rakyat kepada Muafakat Nasional. – UMNO ONLINE
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO
#salammuafakatnasional
#umnosebuahperjuangan
#muafakatnasionalpemacupolitikmalaysia
#muafakatmenujukemenangan
#secangkirkopi44