PH Terdesak Salahkan Politik Punca Ekonomi Lemah, Cubaan Alih Perhatian – Shahrir

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad membidas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengajak rakyat untuk fokus kukuhkan ekonomi dan hentikan berpolitik berpanjangan.

Tegas beliau, kalau Azmin nak salahkan politik sebagai punca kelemahan ekonomi, lihatlah kepada diri sendiri, rakan-rakan menteri yang ada, dan juga kepada seorang Perdana Menteri (PM) yang ketinggalan sangat dalam kefahamannya mengenai dunia sekarang.

“Ini dah bunyi macam terdesak sangat. Satu cubaan nak mengalih perhatian dan perbincangan dari politik ke ekonomi. Setelah lebih satu tahun semuanya pasal politik, baru sekarang nak tengok kepada ekonomi.

“Setahun lebih berbicara politik ‘semuanya salah Barisan Nasional (BN)’, dan itu pun tidak mendatangkan keuntungan bagi Pakatan Harapan (PH) kerana pengundi tetap menolak PH dan sekutunya di semua PRK semenjak Cameron Highlands.

“Yang PH menang ialah PRK Sandakan, tapi bandar itu lebih masyur namanya kerana video bilik hotel (juga disebut oleh menteri ini sebagai komplot politik yang paling jijik dan bukan kelakuan semburit pula terjijik yang didakwa berlaku) dan bukan kemenangan calon Dap-PH,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Azmin dilapor menggesa semua orang menghentikan permainan politik untuk membina semula ekonomi selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina di Ampang, malam tadi.

Tempelak Shahrir yang juga mantan Pengerusi Felda, takkanlah, sebagai seorang menteri dan pemimpin tertinggi PH, Azmin tidak sedar apabila ekonomi negara dipolitikkan yang kesannya ialah ekonomi rakyat dilemahkan.

“Apabila ekonomi rakyat terjejas, rakyat akan marah. Inikan politik 101 atau politik yang ‘simple’. Nak jadi menteri, kena jadi orang politik dulu. Sudah jadi menteri, kena juga faham ekonomi. Tentu faham juga setiap perbuatan dan tindakan ada kesannya dalam bentuk reaksi baliknya. Kalau tindakan tidak betul, kesan dan reaksinya pun tidak betul.

“Apabila percaya sangat kepada hujah Dap supaya institusi ekonomi Melayu dan Islam hendaklah disusun semula kearah sebuah ekonomi yang liberal, terbuka dan kompetitif (ikut asas neo-liberal), jangan pula kata itu bukan hasrat politik PH.

“Sebenarnya, tiada asas ekonomi untuk merosakkan simpanan dan pelaburan Melayu dan Islam melalui institusi seperti TH, PNB, FELDA, MARA dan LTAT atau melemahkan syarikat-syarikat gergasi negara seperti PETRONAS, Khazanah Nasional, TNB, TM dan lain-lain.”

Terang beliau, ideologi ekonomi neo-liberal Dap tidak terjawab oleh menteri-menteri seperti Azmin, Muhyuddin dan Mat Sabu kerana mereka pun tak faham ekonomi rakyat.

“Kalau nak harap kepada Tun Mahathir dan Tun Daim, mereka berdua memang neo-liberal, iaitu percaya kepada teori kekayaan individu paling utama dalam perkembangan ekonomi.

“Sudah dekat dua tahun ekonomi negara, terutama institusi-institusi pentingnya, sudah dirombakkan sesuai dengan selera Dap dan ianya dilakukan dalam nama ‘economic restructuring’. Hasilnya, lagi rosak ekonomi rakyat.

“Dan akan terus rosak lagi. KWSP pun berdepan dengan ekonomi yang malap kerana pengurusan ekonomi negara sungguh malang berada ditangan orang macam Lim Guan Eng.”

Jelasnya, kalau Lim Guan Eng dulu-dulu menteri dalam BN, dia sebenarnya tidak cukup kelayakan untuk jadi menteri kewangan, tapi dalam PH, Dap yang paling kuat dan Lim Guan Eng paling kuat dalam Dap maka, dia jadi menteri kewangan.

“Walaupun menteri kewangan dengan ‘back-up’ dari 20 pegawai-pegawai khas dan penasihat, kalau sudah tak pandai ekonomi dan kewangan, kegagalan sudah pasti hasilnya.

“Satu jemaah menteri yang sudah kesesatan dalam dunia politik dan ekonomi mereka sendiri. Rakyat juga yang menanggung kesan setelah memberikan mandat kepada mereka!” bidasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79