PH, LGE Punca Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Rendah, Tiada Hala Tuju
KUALA LUMPUR, 14 Feb – Kelemahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (LGE) serta kurangnya keyakinan pelbagai pihak kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah antara penyebab pertumbuhan ekonomi Malaysia yang rendah.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata sikap LGE yang tidak bercakap benar dan seringkali berpolitik ketika mengendalikan ekonomi negara juga mempengaruhi kejatuhan ini dan melemahkan ekonomi negara.
“Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang rendah berpunca daripada pelbagai faktor dan tentunya kelemahan Menteri Kewangan serta kurangnya keyakinan pelbagai pihak kepada Kerajaan PH juga menjadi penyebab.
“Kita boleh bayangkan bagaimana unjuran yang dibuat LGE 4.7% jauh tersasar dan Ini dalil kelemahan LGE menjangkakan masa depan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu tersebut hari ini.
Dilaporkan, Gabenor Bank Negara mengumumkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara pada suku keempat 2019 jatuh pada kadar 3.6%, berbanding 4.4% pada suku sebelumnya.
“Ini memperlihatkan keseluruhan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2019 jatuh pada kadar 4.3%, terendah dalam tempoh 10 tahun sejak 2009.
“Keadaan ini sangat membimbangkan dan akan memberi kesan kepada pelbagai pihak terutamanya rakyat.”
Bukan itu sahaja katanya, mengimbas kembali hutang langsung Kerajaan Persekutuan sehingga akhir bulan Jun 2019 adalah berjumlah RM799.1 bilion (52.7 peratus daripada KDNK) iaitu peningkatan sebanyak RM58.1 bilion berbanding tahun 2018 iaitu RM741 bilion (51.2 peratus daripada KDNK) dan untuk tempoh Januari hingga Oktober 2019, Kerajaan telah menerbitkan RM121 bilion hutang langsung secara kasar.
“Bagi tahun 2020, bulan Januari sahaja LGE sudah pun membuat pinjaman sebanyak RM15 bilion lagi. Hutang negara terkini sudah mencecah ke paras RM820 bilion dari RM686 bilion sejak PH memerintah negara. Hutang negara dijangka akan meningkat lagi sebanyak RM55 bilion bagi tahun ini,” bidas beliau.
Tegas beliau, krisis kepimpinan iaitu isu peralihan kuasa serta ketidakupayaan menteri PH mengundang ketidakyakinan pelbagai pihak kepada negara.
“Lihatlah industri sawit negara. Pengeluaran minyak sawit bagi Januari 2020 terus jatuh dan 33% lebih rendah berbanding Januari 2019. Ditambah pula eksport produk minyak sawit bagi Januari 2020 terus jatuh dan 19% lebih rendah berbanding Januari 2019. Ia juga memberikan kesan kepada rakyat.
“Usaha kerajaan memulihkannya mengecewakan. Penjualan syarikat yang tidak telus juga memberi kesan yang besar kepada negara. Tiada hala tuju jelas polisi dan dasar negara ketika ini menambahkan lagi masalah.”
Kerana itulah jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong, pelbagai pihak mengambil sikap tunggu dan lihat.
“Malah ramai pelabur yang sudah meninggalkan Malaysia kerana tidak yakin dengan pengurusan ekonomi negara oleh Kerajaan PH.
“Kesannya siapa yang rugi? Tentulah rakyat. Peluang pekerjaan, perniagaan semakin kurang.
“Saya yakin jika berterusan begini, Malaysia akan ketinggalan berbanding negara lain. Kalau begini jangan harap Malaysia boleh jadi Harimau Asia,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE