UMNO-PAS Fokus Muafakat Nasional, Tak Pernah Bincang Pakatan Nasional – Tok Mat
KUALA LUMPUR, 11 Feb – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO dan PAS tidak pernah berbincang berkaitan Pakatan Nasional sebaliknya membincangkan Muafakat Nasional untuk terus diperkasa.
Katanya, Muafakat Nasional perlu dijiwai oleh semua orang memandangkan ada yang masih melihatnya sebagai konsep sahaja dan tidak berapa pasti hala tujunya sedangkan Muafakat Nasional adalah muafakat bersama.
“Kita akan menubuhkan jawatankuasa pelaksana dan penyelaras di peringkat negeri dan bahagian bagi bersiap sedia memikirkan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya kepada media selepas mesyuarat bulanan Jawatankuasa Perunding peringkat tertinggi UMNO dan PAS yang berlangsung di Ibu Pejabat
Barisan Nasional (BN), Menara Dato Onn, malam tadi.
Jelasnya yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat, Muafakat Nasional ini akan diurus oleh satu sekretariat yang dapat bekerja sepenuh masa dalam hal tersebut.
“Kita akan adakan retreat tertinggi diantara ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersama kepimpinan tertinggi PAS supaya mendapat lebih ‘bonding’.
“PRU 15 ini mungkin akan diadakan awal… kita tak tahu sebab ini tergantung kepada kerajaan, maka kita tak mahu pula nanti Muafakat Nasional tidak bersedia … jadi kita buat ‘frame work’ awal-awal dan itu yang sedang dibincangkan,” katanya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh barisan kepimpinan UMNO termasuk naib-naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah sementara PAS yang juga dibarisi kepimpinan tertingginya dengan diketuai oleh Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pada 14 Sept lalu, melalui Himpunan Penyatuan Ummah, UMNO dan PAS mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.
Piagam berkenaan ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pula diwakili oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Setiausaha Agung UMNO dan PAS menjadi saksi kepada majlis tandatangan berkenaan. – UMNO ONLINE