Resolusi Konvensyen Muafakat Nasional Untuk Kemenangan Rakyat

BAGAN DATUK, 26 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan usaha dan kerjasama UMNO bersama PAS dalam Konvensyen Muafakat Nasional Peringkat Negeri Perak sangat penting sebagai hasrat untuk merampas kembali negeri tersebut demi kemenangan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Beliau amat yakin usaha Konvensyen Muafakat Nasional peringkat Negeri Perak ini dan ia akan diikuti oleh setiap negeri selepas ini.

“Saya amat yakin apa yang dibahaskan oleh pembahas-pembahas yang terdiri dari lima orang wakil UMNO dan lima dari PAS akan dapat dihayati untuk diaplikasi bersama.

“Kita juga menghargai dokongan dan sokongan dalam BN, Friends of BN, NGO-NGO dan sokongan serta dokongan dari pelbagai latar kaum yang berbeza termasuklah agama. Tentunya sokongan-sokongan yang memberangsangkan ini harus diteruskan dan jangan ada noktah.

“Saya yakin kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan hanya berada satu penggal dalam lanskap politik negara kita… insya-Allah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian semasa menutup Konvensyen Muafakat Nasional Peringkat Negeri Perak, di sini bersama Presiden PAS.

Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Naib Presiden PAS, Datuk Dr Idris Ahmad; Pengerusi Muafakat Kebangsaan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Mat Nazari Ahmad Dahlan, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN).

Tambah Dr Ahmad Zahid lagi, resolusi Muafakat Nasional harus dilaksanakan bersama agar dapat membentuk negeri Perak yang bukan lagi di bawah PH.

“Jangan tinggalkan resolusi di atas kertas saja kerana yang penting adalah pelaksanaannya dan kita yakin bahawa kerjasama antara UMNO dan PAS akan diterjemahkan dengan baik, insya-Allah… akan menterjemahkan sehingga kita membentuk negeri Perak ini dalam muafakat yang baru.

Sementara itu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata jika berkelahi sesama sendiri tiada maknanya dan bangsa asing akan mengambil kesempatan terhadap perkelahian ini.

“Janganlah kita berkelahi … kalau berkelahi tiada maknanya Muafakat Nasional. Perkelahian menyebabkan kelemahan dan ia memberi peluang kepada musuh-musuh kita.”

Hadi menegaskan, rakyat telah buat perubahan yang besar dan kita harus mengeratkan perpaduan iaitu ummah yang menyahut Islam dan juga umat yang berdakwah.

“Umat yang bukan Islam kita akan ajak bersama dan jangan memaksanya, dan mereka sebahagian daripada kita maka kita harus bersikap adil.

“Saya mengalu-alukan perhimpunan ini dan ini menandakan satu perhimpunan yang besar untuk UMNO dan PAS,” tegasnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit