Koronavirus: Mana Lebih Penting, Tahun Melawat Malaysia Atau Rakyat Malaysia? Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyelar tindakan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang masih membuka pintu kepada pelancong China di kala satu dunia bimbang dengan penyebaran wabak coronavirus.

Jelas beliau, negara jiran sudahpun menghalang pelancong China memasuki negara mereka tetapi sayangnya Malaysia mengambil tindakan sebaliknya.

“Korea Utara, Rusia malah Beijing sendiri telah menyekat kemasukan pelancong China dari bandar-bandar dan wilayah lain bagi menangani penularan wabak ini. Betapa pantasnya tindakan yang diambil demi nyawa rakyat mereka dan ini seharusnya dicontohi oleh Malaysia.

“Seharusnya kerajaan mengambil tindakan drastik bagi menghalang penyebaran wabak ini menjadi lebih teruk. Janganlah memandang ringan perkara ini seolah-olah kerajaan tidak mengambil berat langsung berkaitan nyawa rakyat Malaysia,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Ismail Sabri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO, walaupun kerajaan menegaskan telah mengambil langkah berjaga-jaga namun ia terbukti tidak memadai kerana tiga pelancong China positif coronavirus yang menaiki bas dari Singapura menuju ke Johor telah melepasi semua saringan.

“Janganlah nanti sudah terhantuk baru tengadah. Jika ini terjadi ia sudah tidak berguna lagi. Adakah kerajaan hanya mementingkan Tahun Melawat Malaysia 2020 sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa rakyat negara ini? Kita harus mencegah sebelum ia menjadi parah,” bidas beliau.

Justeru beliau mendesak kerajaan untuk menarik balik pengecualian visa kepada pelancong China dan seterusnya menghalang mereka untuk memasuki negara ini.

Untuk rekod, setakat ini China mengesahkan 830 kes pesakit dijangkiti dengan coronavirus baru pada 23 Januari lalu manakala jumlah kematian daripada virus itu meningkat kepada 25 orang. Virus yang berasal dari pusat bandar Wuhan di Hubei pada akhir tahun lalu telah merebak ke bandar-bandar lain di China termasuk Beijing dan Shanghai serta telah tersebar ke luar negara iaitu Amerika Syarikat, Thailand, Korea Selatan, Jepun dan terbaru Malaysia, Singapura dan Arab Saudi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.