PH Tipu Rakyat, Sekarang Rakyat Balas Balik – Dr Puad


KUALA LUMPUR, 21 Jan – Sekarang giliran Pakatan Harapan (PH) pula tertipu atas kesalahan mereka sendiri yang menipu rakyat dengan janji 100 hari manifesto, bidas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya dalam satu hantaran di Facebook, rakyat kini membalasnya kembali sepertimana yang ditunjukkan di dalam siri-siri pilihan raya kecil (PRK) dengan lima kekalahan PH kepada Barisan Nasional (BN).

“Sebab itu PH terkejut ‘beruk’ bila kalah besar di Tanjung Piai. PH sekali lagi ‘takajut ambok’ (beruk) bila kalah di Kimanis.

“Engkau bagi, aku ambik. Undi belum tentu,” ujarnya.

Untuk rekod, Sabtu lalu parti kerajaan negeri Sabah Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mesra PH kalah di dalam PRK Parlimen Kimanis.

Begitu juga PH-Dap kalah di Parlimen Cameron Highlands, Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih (PH-PPBM), Rantau (PH-PKR) dan Parlimen Tanjung Piai (PH-PPBM).

Ulas Dr Puad lagi, pusat kajian pro-PH seperti Merdeka Center, Institut Darul Ehsan dan Ilham Center juga tertipu.

“Ramalan mereka semuanya meleset. Semuanya gagal membaca emosi dan denyut nadi rakyat. Rakyat ‘tipu’ PH.

“Di Kimanis kebanyakan rumah ditampal dengan ‘sticker’ Warisan. Pengundi tidak menghalang. Tetapi undi, Warisan tidak dapat,” katanya.

Tambahnya juga, sekarang keluar pula gambar lama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjamu selera di kediaman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Timbul cerita kononnya akan wujud kerajaan baru tanpa Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Dap. Semuanya untuk ‘divert’ kemenangan besar BN di Kimanis.

“Sudahlah, ingat pesanan ini, “don’t ever ever trust Mahathir”

“Tetapi ‘forever’, radu tatap radu. Radu sampai menang. Ubah balik,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit