Kimanis: Antara Sentimen Politik Kenegerian Dan Politik Kebenaran


TUMPUAN kini pasti terarah kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Sabah yang menyaksikan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan.

Selain menjadi pembuka tahun baharu 2020 ini, PRK Kimanis juga boleh dijadikan sebagai petunjuk berhubung sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) pada tahun ini.

Bukan sahaja kepada PH, malah kepada Warisan yang merupakan parti tempatan yang berjaya membentuk kerajaan di negeri di bawah bayu itu pada PRU-14 lalu.

Tentunya seperti PRU-14 lalu, PRK Kimanis kali ini turut menyaksikan sentimen politik kenegerian menjadi antara agenda penting dan utama yang ditimbulkan oleh Warisan.

Itu merupakan antara senjata parti Warisan untuk meraih sokongan rakyat dan mereka telah berjaya pada PRU-14 lalu.

Saya bukannya secara semberono atau suka-suka mendakwa Warisan akan buat demikian, tetapi itulah hakikatnya yang berlaku sepanjang empat hari saya berada di Kimanis bermula dari hari penamaan calon.

Sebagai contoh, Warisan mendakwa kononnya mereka parti tempatan dan tidak ada kaitan dengan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Menteri Sabah, dalam satu majlis di Kimanis, merayu pengundi Kimanis agar memilih calon yang tahu kehendak penduduk Sabah.

Ketua Menteri mahu pengundi memilih orang Sabah, hati dan jantungnya Sabah, mukanya orang Sabah; bukannya mukanya orang Sabah, tapi hatinya UMNO Kuala Lumpur.

Begitu juga dalam isu Pas Sementara Sabah (PSS). Yang disalahkan Barisan Nasional (BN), sedangkan yang meluluskan dan melaksanakan PSS adalah kerajaan negeri Sabah pimpinan parti Warisan.

Sememangnya senario politik di Sabah adalah unik dan berbeza daripada situasi di Semenanjung Malaysia.

Saya berpandangan, tidak salah sekiranya sentimen politik kenegerian dimainkan tetapi ia perlu ada batasan kerana kesannya boleh mewujudkan perpecahan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Tidak ada siapa pun yang dapat menafikan keperluan orang Sabah untuk mendapat pengiktirafan dan penghormatan tetapi jangan sehingga terikut-ikut kepada politik yang menjurus kepada perpecahan.

Kesannya adakah kepada pimpinan parti politik terbabit atau rakyat? Tentunya rakyat yang akan menerima kesannya.

Adakah dengan kita terus memainkan politik kenegerian ini akan menyelesaikan isu seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)?

Adakah isu royalti minyak, isu kos sara hidup tidak membelenggu masyarakat di Sabah?

Rakyat di Sabah dan Kimanis juga sama seperti rakyat di Semenanjung yang kini cukup terkesan dengan kenaikan kos sara hidup akibat peningkatan harga barang.

Rakyat di Sabah juga sama seperti rakyat di Semenanjung yang menerima kesan ekoran tindakan kerajaan Pusat pimpinan PH yang tidak menunaikan janji manifesto mereka.

Politik adalah menyeluruh dan politik yang perlu diamalkan dan dilaksanakan adalah politik kebenaran dan bukannya persepsi.

Dalam berpolitik, kita seharusnya memelihara rakyat iaitu yang bermaksud mengambil berat tentang kepentingan-kepentingan rakyat yakni menunaikan segala hak dan kewajipan rakyat mengikut ketentuan yang telah Allah SWT perintahkan ke atas mereka.

Sekarang bukan lagi lagi masa untuk kita beretorik dan memperjuangkan sesuatu yang tidak memberikan manfaat kepada rakyat. Atas faktor itulah, BN lebih mengutamakan politik kebenaran berbanding persepsi yang tidak mampu mengubah kehidupan rakyat.

Apa itu politik persepsi? Politik persepsi bermakna politik mengeliru dan mengaburi mata rakyat yang jauh daripada realiti.

Fakta dan angka dimanipulasi, kebenaran ditolak, fitnah ditabur sehingga menimbul sentimen marah, benci, dendam terutama melalui media sosial seperti aplikasi Whatsapp, Facebook dan sebagainya.

Adakah politik seperti ini akan menguntungkan rakyat? Tepuk dada tanya selera. Saya yakin rakyat khususnya di Kimanis bijak membuat keputusan sama ada memilih politik persepsi atau kebenaran.


Mohd Sharkar Shamsudin
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.