Terdesak Fitnah… PH-Warisanlah Yang Gagal Jaga Kebajikan Rakyat Sabah – Pengundi
KIMANIS, 16 Jan – Pakatan Harapan (PH) melalui Parti Warisan ketandusan isu dengan menuduh Barisan Nasional (BN) gagal bawa pembangunan di Sabah sedangkan Warisanlah parti yang gagal menjaga kebajikan rakyat.
Inilah antara pandangan pengundi yang ditemui oleh UMNO-Online di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis ini.
Pemimpin Warisan menuduh BN memainkan isu Pas Sementara Sabah (PSS) hanyalah semata-mata untuk menutup kelemahan BN yang gagal membawa pembangunan di negeri di bawah bayu ini.
Namun bagi Mohd Fazli Zikri, 33, rakyat Sabah khususnya di Kimanis ini telah semakin matang dan boleh menilai siapa yang telah membawa pembangunan di negeri Sabah ini.
“Jika kita lihat di Kimanis ini, begitu banyak pembangunan yang dibawa oleh kerajaan BN dahulu malah semasa zaman BN, ramai rakyat miskin menerima rumah PPRT tetapi sepanjang Warisan memerintah, tidak nampak satu pun rumah PPRT yang disediakan untuk rakyat.
“Ini jelas menunjukkan kerajaan BN bawa banyak kemajuan kepada Negeri Sabah. Apa yang dituduh oleh Warisan ini hanya untuk mengelirukan rakyat Sabah yang konon BN gagal bawa kemajuan di negeri Sabah sedangkan hakikatnya kerajaan Warisan yang gagal menjaga kebajikan rakyat,” ujarnya.
Junaidi Baharom, 41 turut menafikan tuduhan BN gagal bawa kemajuan di Sabah.
“Tuduhan BN tidak membawa pembangunan di Negeri Sabah adalah tidak benar sama sekali. Hampir dua tahun Warisan perintah, Sabah tidak ada pembangunan baru melainkan polisi-polisi lama yang telah dibuat oleh BN dulu. Mereka yang tinggal rasmi bila projek siap. Kalau tuduh BN tidak bawa pembangunan itu hanya hujah terdesak.
“Warisan ini sebenarnya hanya menjaga pendatang tanpa izin, sebab itu mereka perkenalkan PSS,” ujarnya.
Mohd Faizal Madlis, 40, pula berkata, Warisan sebenarnya ketandusan isu kerana dihimpit dengan penolakan rakyat terhadap PSS.
“Kerana terdesak dan tidak ada isu maka mereka menuduh BN tidak membawa pembangunan di Sabah. Kalau BN tidak bawa pembangunan, bagaimana Sabah boleh berubah dari semasa ke semasa? Jalan raya bertambah baik, BN yang buat. Banyak benda yang BN bawa ke Sabah, bukannya Warisan.
“Warisan hanya bawa PSS. Warisan tidak mendengar suara rakyat yang tidak mahu PSS. Sebab itu orang Sabah tidak mahu Warisan,” tempelaknya lagi.
Terdahulu, dalam kempen PRK Kimanis ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal telah mengeluarkan kenyataan bahawa BN gagal bawa pembangunan di Sabah. – UMNO ONLINE