Hebah Rakaman Audio: Apa Motif SPRM Sebenarnya…? – Hariri
KUALA LUMPUR, 9 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohd Noor terkilan dengan tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya yang dianggap tidak wajar dan mempunyai motif tertentu selain sengaja mahu memalukan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Jelasnya, sewajarnya SPRM tidak perlu mengadakan sidang media dan harus tahu menilai kesannya terlebih dahulu.
“Kita rasa terkejut dengan tindakan SPRM yang mengadakan sidang media dan ini adalah tidak wajar. Adakah SPRM mendapat keizinan dari pihak tertentu untuk mendedahkan rakaman audio Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semalam?
“Pemuda Negeri Kelantan merasa ralat kerana tidak sepatutnya perkara ini dibuat sebagai hebahan umum apatah lagi kes 1MDB masih berjalan di mahkamah. Sepatutnya ia boleh dijadikan bukti dari pihak pendakwaraya sekiranya ia benar-benar bersangkut paut dengan kes 1MDB,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.
Hariri yang juga Ketua Pemuda UMNO Pasir Mas menjelaskan, sidang media oleh SPRM itu seolah-olah disengajakan.
“Kes 1MDB ini sedang berjalan di mahkamah dan mungkin juga menjadi faktor untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pihak tertentu.”
Tambahnya, dengan apa yang berlaku maka tidak mustahil jika pihak SPRM akan membongkar perbualan pimpinan atasan dan ‘privacy’ perbualan rakyat.
“Tidak mustahil jika pihak SPRM akan membongkar perbualan sesama sendiri dan perkara ini juga melibatkan kuasa… sebagai contoh kemungkinan perbualan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan-rakan akan dihebahkan. Konspirasi antara Anwar bersama Dap kemungkinan juga akan turut dihebahkan juga.
“Kita kena tengok akta komunikasi sama ada dibolehkan untuk rakaman perbualan seseorang melainkan mendapat waran daripada mahkamah. Sekiranya perkara ini tidak jelas dalam akta maka ia kemungkinan boleh dijadikan satu medium peras ugut rakyat biasa,” tegasnya lagi.
Semalam Ketua SPRM, LatheefaKoya dalam sidang media memaparkan perbualan Najib, isteri beliau, Rosmah Mansor dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad; dan bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim. – UMNO ONLINE
Oleh: Amin Adnan