UMNO Sabah Laksana Autonomi, Kimanis Ada Keunikan Tersendiri

KIMANIS, 2 Jan – Autonomi yang diberikan kepada UMNO Sabah telah dilaksanakan buat pertama kalinya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis apabila soal pemilihan calon ditentukan oleh UMNO negeri berkenaan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yaakub Khan yang mewakili Datuk Bung Moktar Radin berkata itu adalah bukti yang jelas dan bukannya perkara yang yang dilakukan semata-mata untuk mengaburi rakyat Sabah.

“Autonomi tersebut bukannya retorik dan buktinya hari ini kita telah membuat keputusan memilih calon sehingga umum calon dalam PRK ini tanpa ada campurtangan daripada UMNO Pusat. Kita telah laksanakan salah satu daripada autonomi yang diberikan.

“UMNO bukan parti retorik. UMNO berjanji akan dikota janjinya. Insya Allah dalam siri ceramah kita menjelajah di seluruh Kimanis ini kita akan menyatakan apa yang dikatakan autonomi. Moga kita teruskan semangat perjuangan ini tanpa mengenal erti penat lelah apatah lagi untuk kalah tidak sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Perdana dan kenduri Rakyat di Kg Ping-Ping, Membakut, di sini malam tadi.

Turut berceramah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul hadi Awang dan pimpinan setempat yang lain.

Sementara itu Ketua UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang turut berucap ringkas melihat kehadiran pelbagai kaum dan agama pada program tersebut membuktikan senario yang sebenarnya di kawasan tersebut.

“Inilah kehidupan kita dibahagian Kimanis. Kita hidup dalam keadaan aman dan berbilang kaum serta berbilang agama … kita tidak pernah gaduh antara agama dan kaum di Malaysia dan di Kimanis ini.

“Saya sangat bangga kerana banyak cawangan-cawangan UMNO yang ketua cawagannya juga adalah bukan bergama Islam dan inilah keunikan bahagian Kimanis.Insya-Allah kita berazam akan menjaga kesatuan dan permuafakatan antara kaum di Parlimen Kimanis di DUN Bongawan dan DUN Membakut ini.

“Ketahuilah kesatuan itu jauh lebih baik daripada berpecah belah. Kita sama-sama bangkitkan kesatuan antara kita.Insya Allah kehadiran pelbagai kaum dan pelbagai agama pada malam mini akan memperkuatkan kesatuan rakyat di Parlimen Kimanis ini.” – UMNO Online.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit