Menjelang 2020, Kelam 2019 Dan Jangkaan Suram Di Bawah Kerajaan PH
PERSEKITARAN ekonomi begitu mencabar pada 2019, dengan pergerakan tidak menentu harga komoditi dan perkembangan politik semasa tanah air memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Hari ini tahun 2019 melabuhkan tirainya dan 2020 akan muncul, namun setelah hampir dua tahun kerajaan Pakatan Harapan memerintah, bukan sahaja tidak mampu melangsaikan janji-janji manifesto malah lebih mendukacitakan rakyat semakin dibebani dengan kenaikan harga barangan ditambah pula dengan pelbagai cukai baharu.
Tidak cukup dengan itu, Pakatan Harapan secara terus menerus menghampakan rakyat apabila mengumumkan dividen ASB terendah dalam sejarah dengan 5.5% melibatkan agihan hanya RM 9 billion berbanding lebih RM11 billion agihan dividen ketika pentadbiran Barisan Nasional.
Perkara ini belum lagi melibatkan hibah Tabung Haji (TH) dan Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) juga terendah dalam sejarah turut menyedihkan para pendeposit yang majoritinya orang Melayu.
Aliran tunai yang semakin surut ditambah pula dengan kuasa membeli semakin mengecil merencatkan pasaran ekonomi negara.
Lihat sahaja disetiap sudut pasti kedengaran keluhan para peniaga yang saban hari rugi kerana tiada jualan.
Lebih mengejutkan banyak pihak apabila kerajaan bakal menamatkan pemberian elaun khidmat kritikal sebanyak RM750 kepada 33 skim perkhidmatan kerajaan antaranya doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula 1 Januari 2020 pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet perkhidmatan awam baru-baru ini yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Walaupun telah ditarik balik namun persoalan pokoknya ialah adakah perkhidmatan perubatan kini sudah tidak lagi kritikal?
Betapa Pakatan Harapan memandang mudah beban tugasan yang tinggi ditambah pula dalam persekitaran tempat kerja baharu pasti akan memberikan tekanan pada doktor-doktor muda.
Bukan itu sahaja, mereka terpaksa memikirkan tanggungan bulanan pinjaman PTPTN yang dicanang percuma sebelum pilihan raya kini terbeban kerana tiada lagi potongan seperti sebelum ini. Malah pengambilan secara kontrak menyebabkan doktor-doktor muda tidak dapat melanjutkan pengajian ke peringkat pakar.
Keringat para doktor dan jururawat seolah-olah tidak lagi dihargai oleh kerajaan hari ini. Dari sudut manakah profesion doktor tidak lagi kritikal sedangkan setiap hari berdepan dengan pelbagai risiko seperti ‘needle stick injury’, jangkitan TB, HIV, Hepatitis selain terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah waris keluarga dan pesakit.
Tidak dapat dielakkan, motivasi dan kepuasan kerja itu berkait rapat dengan imbuhan kewangan dalam apa jua sektor. Adakah YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri sudah lupa betapa mencabarnya menjadi seorang doktor muda ‘houseman’?
Tidak sampai 24 jam, pelbagai respon dikeluarkan melalui media sosial oleh menteri-menteri Pakatan Harapan tetapi yang menjelikkan YB Syed Saddiq seolah-olah ingin menjadi hero sedangkan perkara tersebut telah diputuskan oleh YAB Perdana Menteri dalam mensyuarat Jawatankuasa Kabinet. Sewajarnya selesaikanlah dahalu permasalahan para ahli sukan dan pencapaian sukan SEA lepas yang merosot.
Walaupun sekali lagi ‘u-turn’ tetapi jelas sekali bahawa Pakatan Harapan gagal menyelami isu-isu rakyat sebagaimana perancangan untuk subsidi minyak petrol Ron 95 diapungkan harganya menyebabkan harga pasaran meningkat. Sepatutnya, sebelum diputuskan sebagai dasar atau polisi bukankah lebih elok jika kajian mendalam dilakukan agar Program Subsidi Petrol (PSP) yang sepatutnya bermula pada 1 Januari tahun tidak mengaibkan kerajaan apabila diumum ditangguhkan sebagaimana beberapa perkara lain yang telah ‘u-turn’.
Lebih meruncingkan ramai penjawat awam dan swasta telah adan bakal ditamatkan perkhidmatan mereka.
Inilah yang dipanggil ‘cakap tak serupa bikin’, apa yang diidamkan oleh rakyat dengan pelbagai janji-janji manis sehingga berjaya menumbangkan Barisan Nasional, kini hanya tinggal sepi.
Debaran politik semasa di antara YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dengan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin dirasakan kerana janji peralihan kuasa Perdana Menteri dijadualkan pada Mei 2020 yang semakin hampir.
Penyokong-penyokong PKR yakin Anwar lebih baik daripada YAB Tun Dr. Mahathir untuk menjadi PM Malaysia berdasarkan pengalaman beliau menjadi menteri kabinet dan menteri kewangan di era kerajaan Barisan Nasional tetapi nampak gayanya semakin kelam apabila Tun Dr Mahathir ingin menyerahkan selepas mesyuarat APEC pada Disember 2020.
Bolehkah Anwar dan penyokong-penyokongnya bersabar dengan tipu helah politik Tun Dr Mahathir ini?
Sewajarnya, usah difikirkan perkara yang lebih besar dan mustahak kalau harga bawang pun gagal dikawal oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Betullah kata orang, kerajaan hari ini adalah kerajaan sepenggal.
Kepada Allah SWT kita berserah. Salam perjuangan
Aiman Ja’apar
Pengerusi Biro Profesional Muda,
Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M)