‘Billboard Sugarbook’: Rahmatan Lil Alamin PH Sekadar ‘Make-up’ Konon Jaga Islam
KUALA LUMPUR, 19 Dis – Penganalisis politik tempatan, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, papan tanda gergasi mempromosikan pelacuran secara jelas memperlihatkan bahawa konsep ‘rahmatan lil alamin’ yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) sekadar ‘make-up’ untuk mencantikkan rupa mereka demi menunjukkan kononnya PH tidak melupakan Islam.
Namun jelas beliau, hakikat dan kenyataan sebenar, pentadbiran PH tidak langsung menjaga kepentingan Islam sebagai agama rasmi negara ini.
“Pemimpin PH melaungkan ‘rahmatan lil alamin’ tetapi dalam masa yang sama mereka membenarkan papan tanda gergasi promosi pelacuran dinaikkan. Rupanya, dasar ‘rahmatan lil alami’n yang mereka perjuangkan adalah ‘menyeluruh’ sehingga tawaran pasangan jantina sudah boleh diiklankan sebegitu mudah.
“Inilah sebenarnya gambaran Melayu Islam yang sangat lemah menjadi dasar PH hari ini. Terbukti bahawa parti gabungan PH menjadi tungganggan Dap… hanya Melayu Islam yang mengikut selera Dap saja mampu duduk semeja dengan mereka,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Tawfik, walaupun iklan tersebut telah ditarik balik kerana dikatakan tidak mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) namun ‘kerosakan’ telah pun berlaku.
“Saya agak musykil, bagaimana iklan itu boleh dipaparkan sekiranya tidak mendapat kebenaran? Apakah pihak pengurusan yang terbabit tidak merujuk kepada pihak yang bertanggjawab dan apakah tindakan sekiranya benar ia tidak mendapat kebenaran?
“Bagi saya, penafian itu adalah perkara biasa dan menjadi amalan PH untuk menafikan semua perkara. Dulu mereka kata kapal selam tidak boleh selam… hari ini mereka nafi selepas jadi kerajaan… dulu kata BR1M manjakan rakyat tapi kini mereka juga berikan BR1M… cuma nama ditukar kepada BSH,” bidas beliau.
Justeru tegas Tawfik, kerajaan harus bertanggungjawab dalam isu ini dan jangan terus mengamalkan sikap ‘kong ka li kong’ kerana sekiranya sikap sebegini terus diamalkan maka #kerajaansepenggal pasti menjadi kenyataan. – UMNO ONLINE