Promosi Pelacuran… Apa Nak Jadi Dengan Malaysia Baru?
DAMANSARA, 18 Dis – Naib Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor membidas Kementerian Wilayah Persekutuan apabila membenarkan ‘billboard’ yang mempromosikan pelacuran diiklankan secara terbuka.
Jelas beliau, adakah ini Malaysia Baru yang cuba dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran mereka tanpa memikirkan impak buruk yang bakal merosakkan anak bangsa masa hadapan.
“Pada pandangan saya, tindakan kononnya ‘terlepas pandang’ membenarkan ‘billboard’ ini cukup menghinakan serta tidak langsung menepati norma asas tatasusila ketimuran Malaysia.
“Sebagai komuniti yang konstrukrif, bagi saya kita perlu memiliki kesedaran dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan komuniti sekeliling. Sensitiviti yang jelas gagal dimainkan peranannya oleh kerajaan PH sebagai pentadbir amat mendukacitakan.
“Adakah pemimpin PH langsung tidak memikirkan impak daripada ‘billboard’ tersebut? Adakah kita mahu melihat lima… 10 atau 20 tahun lagi anak muda dan generasi kita ‘rosak total’ dan penyebabnya adalah perlaksanaan dasar kerajaan yang lemah serta pengurus tadbir yang tidak sensitif serta lembik dalam mentadbir negara,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Amin, kerana itulah rakyat harus segera menolak pentadbiran PH ekoran kegagalan dalam pelan tindakan mendidik masyarakat dan tidak langsung ke arah membina masa depan generasi yang terjamin.
“Ini bukan soal bangsa dan agama semata-mata tetapi soal kebertanggungjawaban bersama membina dan membentuk generasi Malaysia ke arah yang lebih bahagia, terjamin kehamonian serta pengukuhan institusi kekeluargaan.
“Ternyata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah…. anda gagal dan amat mengecewakan,” bidas beliau.
Untuk rekod, ‘billboard’ besar yang mempromosikan aplikasi telefon pintar ‘khidmat pelacuran’ alaf baru iaitu ‘Sugar-book’ diiklankan secara terbuka di Bangsar dan Sri Hartamas hingga mendapat kecaman netizen tanpa mengira bangsa dan agama.
Dalam gambar tersebut dipaparkan seorang lelaki berusia bergambar berpelukan dengan wanita muda cantik. Gambaran iklan tersebut ditujukan kepada golongan muda yang cantik atau kacak untuk mencari duit poket dengan cara melacurkan diri untuk ‘sugar daddy’ atau ‘sugar mommy’.
Iklan ini jelas melanggar norma dan kesusilaan budaya negara Malaysia yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi. – UMNO ONLINE