Daulah Terpendam Atau ‘Deep State’: Kerajaan PH Sudah Ikut Skrip Filem Hollywood! – Shahrir


MENTERI Luar Negeri, Saifudin Abdullah, yang pertama mendakwa wujudnya ‘Daulah Terpendam atau ‘Deep State’ di kalangan pentadbiran negara. Dakwaan menteri ini adalah alasan mengapa PH terpaksa membatalkan ratifikasi kepada Statut Roma.

Tidak ketinggalan Khalid Abdul Samad, Menteri Wilayah Persekutuan, tambahkan dengan dakwaan adanya kemungkinan ‘coup d’etat’ atau rampasan kuasa kalau PH teruskan ratifikasi Statut itu!

Semenjak itu, kewujudan Daulah Terpendam ini sering digunakan sebagai alasan kepada kegagalan dan kelemahan menteri-menteri PH dalam mengurus kementerian masing-masing.

Apabila terbongkar kesilapan mereka sendiri, cepat sekali mereka mendakwa kepada peranan Daulah Terpendam melakukan ‘sabotage’ terhadap usaha pemerintahan PH.

Sebagai tindakan balas, pegawai-pegawai tertinggi kerajaan ditukar keluar dari kementerian dan jawatan mereka atau di’beku sejuk’kan di agensi-agensi pusat seperti JPA.

Semasa kerajaan BN, pembocoran maklumat dari dalam kerajaan ke media sosial negara dan antarabangsa telah dipuji sebagai tindakan ‘whistleblower’ demi kebenaran dan untuk membenteras salahguna kuasa. Tidak ada pula dakwaan wujudnya Daulah Terpendam ketika itu.

Saya pun pernah memegang jawatan menteri dan berpengalaman berinteraksi dengan penjawat-penjawat awam.

Saya tetap menghargai nasihat dan pandangan mereka dalam perbincangan dan perbahasan kami tatkala saya bercadang mengubah pendekatan dan strategi atau memperkenalkan dasar yang baru.

Tapi kalau hendak membawa perubahan dan penambahbaik kepada yang sedia ada, kenalah menteri dan penasihat menteri mempunyai halatuju yang jelas dan berasas kepada realiti.

Kalau tidak, bukan Daulah Terpendam yang menggagalkan tapi kelemahan pemikiran menteri itu yang terdedah kepada khalayak ramai.

Jalan yang mudah untuk menutup kelemahan sendiri ialah dengan menukar keluar pegawai serta menyalahkan Daulah Terpendam.

Itu sebabnya, kesatuan sekerja – MTUC dan CUEPACS – sudah mula menyuara kebimbangan mereka tentang penindasan terhadap penjawat-penjawat awam.

Sepatutnya kerajaan PH lebih baik dari BN kerana ia dipimpin oleh seorang perdana menteri yang paling panjang tempoh perkhidmatannya.

Ada juga menteri PH yang pernah menjadi TPM, MB dan menteri semasa dalam BN. Ada yang pernah jadi MB dan KM setelah menumbangkan BN di negeri-negeri sendiri.

Masa itu, tidak terdengar pula adanya Daulah Terpendam ini. Sudah pun 18 bulan PH memerintah. Tidak terbongkar lagi siapa yang menguasai dan menganggotai Daulah Terpendam ini. Yang terbongkar ialah kelemahan dan tahap kebolihan PH sendiri.

MTUC dan CUEPACS mewakili golongan pekerja. Sebagai pekerja, mereka adalah golongan pelaksana. Mereka sudah pun resah memerhatikan gelagat pemerintah yang masih tidak mantap dan halatuju. Kerana itu, mereka bersuara.

Cukup-cukuplah dengan dakwaan yang mengarut dan menyalahkan orang bawah!
#BalikAsal

Tan Sri Shahrir Abdul Samad
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.