UMNO Sebuah Perjuangan: Akar Umbi Teguh Selagi Ada Wira Tak Didendang – Jafni

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Wakil Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata UMNO akan terus kukuh dan teguh di peringkat akar umbi selagi wujud wira-wira yang tidak didendang yang sentiasa menyokong dan jujur dalam perjuangan.

Katanya, pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka sewajarnya tidak dipersia-siakan dan mesti menjadi contoh bagi semua pendukung parti.

“Jangan kita sebagai pemimpin mensia-siakan pengorbanan mereka ini. Mereka tidak mengharapkan apa-apa imbuhan atau habuan, mereka ikhlas dan jujur dalam perjuangan.

“Sebab itulah UMNO terus kuat dan teguh di akar umbi. Mereka perlukan pembelaan kita, sebab itu kita kena terus lawan kerajaan yang zalim ini, 18 bulan memimpin Malaysia berjuta rakyat sengsara dan derita,” katanya ketika membahas Usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kulai itu memaparkan beberapa kisah dengan mengambil contoh ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini, di sebalik beribu kisah perjuangan ahli dan jentera.

“Pertama ada seorang pakcik nun jauh daripada Kedah umur lebih kurang 70 tahun memandu kereta lebih dua belas jam untuk sampai di Tanjung Piai, datang hanya untuk memberi semangat kepada Barisan Nasional (BN). Bila ditanya pakcik tidur di mana, dijawabnya di masjid.

“Kisah kedua, seorang wanita UMNO Kota Tinggi berpayung, berhujan basah di tepi jalan untuk meraih undi saat akhir. Ini hanyalah contoh dari beribu wanita-wanita hebat yang membantu kemenangan BN di Tanjung Piai.

“Ada seorang orang kurang upaya (OKU) datang dari Pasir Gudang, menggunakan tongkat berkaki empat datang ke Tanjung Piai mengunakan bas, bila ditanya kenapa susah payah datang dijawab hanya mahu BN menang,” tambahnya.

Kisah seorang ahli wanita UMNO dari Kota Tinggi, Shamsiah Selamat yang sanggup berdiri di tepi jalan merayu undi ketika hujan lebat dengan hanya berbekalkan sekaki payung semasa hari mengundi PRK Parlimen Tanjung Piai banyak mendapat perhatian sehingga tular videonya di media sosial, dan turut diiangkat kisahnya oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di dalam Ucapan Dasar Presidennya semalam.

Selain itu katanya sudah pasti juga pengorbanan yang ditunjukkan oleh UMNO Bahagian Tanjung Piai dalam menentukan calon pada PRK tersebut perlu dihargai.

Jafni turut memberikan beberapa faktor kemenangan BN di Tanjung Piai selain keyakinan rakyat atas kredibiliti BN dan calonnya adalah seperti perancangan gerak kerja dan kerjasama yang padu antara pusat, negeri dan bahagian, komitmen yang tidak berbelah bahagi dari Wanita dan sayap Pemuda serta Puteri dan penglibatan pemimpin ulung parti yang turut turun padang bantu berkempen.

Dalam ucapannya, Jafni turut menarik perhatian perwakilan dengan mengambil peluang menitipkan pesanan kepada parti MCA yang baru sahaja wakil mereka Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dalam PRK Tanjung Piai dengan menggunakan bahasa Cina. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.