Rukun Negara Perlu Diangkat Sebagai ‘Tiang Seri’ Elak Konflik, Krisis – Mahadhir

KUALA LUMPUR, 7 Dis – UMNO perlu mengingatkan semula semua pihak dengan asas kehidupan dan bernegara di tanah air iaitu menjadikan Rukun Negara sebagai ‘tiang seri’, tegas pembahas Wilayah Persekutuan, Mahadhir Sulaiman.

Katanya, sudah tiba masanya, UMNO memimpin usaha menggilap semula Rukun Negara di tengah kehidupan pelbagai bangsa dan agama yang selalu diancam dengan pelbagai isu.

“Di kala kita menyaksikan ‘parti sebelah sana’ sedang berkuntau dan bertumbuk, eloklah UMNO mengingatkan semula semua pihak dengan asas berkehidupan dan bernegara di tanah air kita.

“Inilah yang melindungi kita daripada terjerumus ke dalam kancah konflik, tidak jadi seperti masyarakat di negara lain yang meniti garisan krisis dan peperangan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Segambut berkata demikian dalam ucapan ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Katanya, kerosakan yang berlaku dalam negara hari ini adalah disebabkan Rukun Negara ini sudah tidak lagi dihormati.

“Kekalahan menyebabkan kita kehilangan kuasa yang mengakibatkan bangsa kita yang dulu dilihat gagah di bawah UMNO sudah hilang maruah dan harga dirinya malah segala kemakmuran, keamanan yang di amalkan sudah hampir pupus di robek oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Mereka semacam sudah tidak lagi bertamadun. Undang-undang juga dibuat sesuka hati mereka,kepentingan rakyat sudah tidak lagi menjadi keutamaan mereka, sebaliknya kerajaan yang ditunjangi Dap ini dilihat begitu rakus sehingga mengenepikan prinsip-prinsip Rukun Negara yang kita bina dahulu bagi maksud memandu rakyat mengamalkan cara hidup yang harmoni selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969.”

Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan peranan UMNO sebagai sebuah parti perjuangan yang sudah tentu akan berhadapan dengan cabaran dan rintangan berdasarkan iklim politik yang baru dan semasa.

“Sebagai ahli dan pemimpin sejauh mana kita berupaya untuk pastikan agama dan dunia itu perlu jalan seiring dalam kehidupan mahupun perjuangan sebagaimana tuntutan agama kita… maka ayuhlah kita tanamkan sifat-sifat kasih sayang terhadap agama, bangsa, parti dan negara.”

UMNO juga katanya, perlu melatih dan melahirkan seramai mungkin pemimpin selain fokus kepada setiap perkerjaannya.

“Andai esok, andai lusa, andai masa akan datang bila mana kepimpinan perlu membuat keputusan yang besar dan penting, jangan sesekali kepimpinan parti menguna pakai peribahasa ‘ditelan mati emak, diluah mati bapak’.

“Keputusan harus tegas tanpa ada unsur kepentingan lain selain perjuangan, agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.