PAU 2019: Pindaan Perlembagaan Agenda Perubahan UMNO

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Perhimpunan Agung UMNO 2019 menyaksikan usul khas Pindaan Perlembagaan UMNO yang dicadangkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan UMNO dan telah diterima sebulat suara oleh para perwakilan tanpa bahas, semalam.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO mengemukakan usul tersebut di bawah fasal 30 atas perkara meminda Perlembagaan UMNO dan disokong oleh perwakilan dari Kedah, Noran Zamini Jamaluddin.

Katanya, dalam konteks UMNO, tidak ada perubahan yang lebih penting, melainkan perubahan yang dimulakan ke atas perlembagaan dan kerangka parti ini.

“Ada beberapa sebab mengapa kita mulakan agenda perubahan UMNO dengan menyemak, memperkemas dan meminda perlembagaannya.”

Pertama, katanya, kita mulakan perubahan UMNO dengan meminda perlembagaannya kerana kita mahukan perubahan yang serius dan perubahan yang boleh dilihat dan difahami dalam erti kata sebenar oleh semua.

“Kedua, perlembagaan adalah punca kuasa yang mendefinisikan ideologi, aspirasi serta sistem nilai yang kita pegang. Kalau kita mahu kenal siapa UMNO, apa perjuangannya, ke mana hala tuju kita, apa matlamat dan sasaran kita, tidak ada rujukan yang lebih baik, melainkan perlembagaannya.

“Ketiga, kita meminda perlembagaan parti kerana inilah susunan tatacara dan tatakelola yang paling ampuh dalam memimpin bagaimana gerakan parti yang besar ini mesti kita kemudikan. Memandangkan UMNO adalah sebuah gerakan yang bersifat nasionalis dan kebangsaan, maka tadbir urusnya sama sekali tidak boleh bersifat longgar dan lemah.”

Jelasnya, kita mesti sedar bahawa ideologi yang baik, aspirasi yang murni dan hasrat yang besar, mesti dijayakan dengan sistem dan kerangka yang jelas, kemas dan tegas.

“Keempat, kita meminda perlembagaan UMNO kerana, kita mahu UMNO menjadi parti moden yang bukan sahaja mampu menjawab tuntutan semasa. Tetapi, berupaya meneroka jalan proaktif untuk mendepani masa depan dengan penuh bersedia.”

Berikut dilampirkan Kandungan Pindaan Perlembagaan UMNO yang telah diluluskan:

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2019/12/USUL-PINDAAN-PERLEMBAGAAN-UMNO-6.12.2019-FULL-VERSION-1.pdf”]

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.