Dr Shamsul, Shahrol Shiro Dan ‘Mak Long PTPTN ‘ Sepentas Kupas Isu Rakyat

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Pelawak tanah air, Shahrol Shiro dan Noran Zamini Jamaluddin yang sering membawa suara ‘Mak Long PTPTN’ sepentas bersama Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkongsi pandangan dalam membawakan isu-isu semasa, malam tadi.

Menerusi program Diskusi Rakyat yang turut disertai kumpulan Buskers, ternyata kelainan yang dibawa menerusi kaedah tersebut menarik minat masyarakat untuk mengetahui kupasan isu-isu yang berlegar hari ini.

Ditambah pula dengan celoteh Shahrol yang secara bersahaja menghidupkan lagi suasana terutama ketika menyampaikan pandangannya mengenai kerajaan Pakatan Harapan membuatkan penonton yang hadir di ‘Bus Bay’ PWTC tidak kering gusi.

Ketua Penerangan UMNO, Dr Shamsul Anuar yang menjadi panel pertama dengan jelas menyebut banyak perkara dan banyak aspek jika hendak dibandingkan antara kerajaan terdahulu dengan kerajaan yang ada hari ini.

“Banyak orang nak sebut jika nak ukur dari segi ekonominya tengok nilai ringgit. Waktu kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum 9 Mei 2018 nilai ringgit kita di tahap yang cukup kukuh. Berbanding dengan 1 Dolar Amerika kita RM3.80 lebih kurang. Sekarang berapa… sekarang RM4.00 lebih… Ini kalau kita lihat dari segi ukuran ekonomi.

“Tetapi kita tengok kesan kepada rakyat… apabila keadaan ini berlaku maknanya harga barang naik dan kuasa beli rakyat kurang. Itu bezanya antara dahulu dan hari ini. Walaupun dahulu dilontar kerajaan bagi ‘dedak’ tetapi hakikatnya itulah pendekatan yang cukup baik,” katanya.

Program Diskusi Rakyat itu turut disiarkan secara ‘live’ menerusi facebook UMNO-Online. Terdahulu sebelum itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan program berkenaan yang diterbitkan Penerangan UMNO Malaysia dan akan bergerak ke seluruh negara.

Dr Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong seterusnya berkata apa yang dilaksanakan oleh kerajaan dahulu membolehkan ekonomi berkembang.

“Saya ambil contoh di Lenggong… katalah isi rumah terdiri daripada 8,000 dan angap setiap keluarga mendapat RM3,000 menerusi BR1M, bantuan anak sekolah dan segala bentuk bantuan, RM3,000 denggan 8,000 isi rumah bermakna ada lebih kurang RM28,000 wang tunai ditangan rakyat.

“Dan apabila RM28,000 dibelanjakan orang berniaga air tebu untung, orang berniaga roti canai dapat, peniaga kain dapat dan sebagainya. Ekonomi berkembang,” tambahnya.

Dan kata beliau lagi zaman sekarang ini mereka yang ingin berbelanja akan berfikir banyak kali gara-gara kuasa beli yang semakin kurang.

Manakala Shahrol Shiro pula berkata apabila bercerita mengenai rakyat menerusi program berkenaan, beliau perlu serius kerana apa yang penting hari ini adalah untuk sama-sama membela rakyat.

“Ramai yang bertanya saya… kenapa engkau ada pada malam ini sedangkan engkau seorang pelawak… nak cakap macam mana pelawak pun tidak boleh cari makan sebab pemimpin PH lebih lawak daripada kami.

“Macam mana pimpinan PH tidak lawak… masuk Parlimen katanya sejuk. Selepas itu nak naik harga sawit suruh minum minyak sawit sesudu sehari. Kereta terbang…,” ujarnya secara sinis.

Tegas Shahrol lagi antara zaman BN dan PH, sebenarnya yang ‘lebih susah’ adalah zaman BN.

“Zaman BN sebenarnya susah nak tengok kerajaan tak bantu rakyat, nanti ada pula yang edit ni… ambil ‘full’ tau… Sebagai contoh saya sebagai artis… kalau berbicara soal ekonomi dahulunya zaman BN termasuklah rakan-rakan artis saya yang lain kalau musim perayaan ‘show’ tu pagi, petang, malamnya show yang bersusun,” ujarnya.

Ujarnya lagi keadaan hari ini turut dirasai oleh kawan-kawan beliau lain yang menceburi pelbagai profesion seperti mereka yang terlibat dalam ‘properties’ dan sebagainya lagi.

“Saya tanya mereka kenapa tidak ‘invest’ lagi… mereka katakan invest sekarang bulan lima nanti Perdana Menteri bertukar lagi. Dan kontrak akan dikaji balik. Jadi sekarang kita simpan. Sebab itu saya rasa bagi pelabur, mereka tidak mahu masuk Malaysia sebab kestabilan politik yang tidak stabil,” katanya.

Sementara itu Noran Zamini dalam celotehnya pula melihat dalam skop anak muda yang mana hari ini mereka dapat menilai dengan sebaiknya.

Kata beliau dalam PRU lalu 70 peratus lebih memberikan undi kepada PH sebab anak muda naluri mereka adalah suka mencuba.

“Mereka tengok cara Rafizi mereka seronok dan percaya… Rafizi bagi hujah minyak Ron 95 boleh turun daripada RM2.20 turun ‘seringgit lima kupang’. Anak muda ini terpesona dan tertarik dengan benda seumpama itu.

“Orang kampung terutama anak muda yang dulunya undi PH mula berikan balik. Tengok di PRK Parlimen Cameron Highland anak muda beri balik, Semenyih bagi balik, tengok di Rantau lagi tinggi hampir 80 peratus anak muda yang dulunya undi PH beri balik dan terakhir di Tanjung Piai,” ujarnya.

Ujarnya lagi tindak-tanduk pemimpin PH selepas diberikan kuasa juga menyerlah perkara yang sebaliknya.

“Saifuddin Nasution hari ini jadi Menteri KPDNKK, sebelum PRU-14, Saifuddin beritahu harga barang mahal kerana kerajaan BN tidak tahu mekanisme cara untuk menurunkan harga barang.

“Hari ini tuan-tuan… sebab itu kita jangan sombong dan ‘loyar buruk’. Allah swt maha kaya. Allah berikan mereka menang dan Allah swt berikan Saifuddin Nasution jadi Menteri KPDNKK. Kesian saya tengok Saifuddin. Raya puasa tahun ini sebab ayam naik harga satu kilo RM7.20 di Pokok Sena. Saifuddin ini nak beritahu juga bahawa ayam tidak mahal mana.

“Dia ronda supermarket pergi Tesco. Dia cari ayam yang harga sekilo RM3.99 sen. Betul jumpa ayam berkenaan tetapi apabila diangkat masuk dalam berita ayam berkenaan besar sedikit daripada burung puyoh,” tambahnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut singgah dan menyaksikan sehingga tamatnya program berkenaan – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.