UMNO Sabah Tidak Kalah Tapi Dikhianati – Hazulizah
KUALA LUMPUR, 5 Dis – Pembahas Jurucakap Usul Pergerakan Puteri UMNO bagi Negeri Sabah, Hazulizah Mohd Dhabi menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah tidak kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu sebaliknya dikhianati.
Katanya, rakyat sudah memutuskan memilih BN tapi juga dikhianati oleh mereka yang diamanahkan.
“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14, BN Sabah tidak kalah, kami tidak kalah… tetapi kami dikhianati. Sedangkan rakyat sudah membuat keputusan memilih kerajaan BN, cukup sudah kami dikhianati, kita tutup cerita ini dan terus ‘move on’ serta perlu menentang PH yang memberi harapan setinggi gunung,” katanya ketika berbahas pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, di PWTC, di sini, hari ini.
Hazulizah yang juga Naib Ketua Puteri UMNO Negeri Sabah berkeyakinan bahawa Ketua Puteri UMNO dapat memikul tanggungjawab yang sebaik-baiknya serta berharap tidak berpecah dan saling melengkapi antara satu sama lain.
“Jangan ajar sifat prasangka, dengki serta berpuak-puak dan insya Allah … Pergerakan Puteri UMNO Sabah ini tidak akan melakukan sedemikian rupa.
“Sesungguhnya perbalahan ini tidak mendapat apa-apa, kita perlu bergerak berkumpulan dan perlu menempur kerajaan ‘hancing’ serta melupakan kegemilangan silam dan mulakan kekuatan yang baru,” ujarnya. – UMNO ONLINE