PH, Bukan Sahaja Hancing, Tetapi Sudah Jadi Badut Lawak Jenaka – Zahida

KUALA LUMPUR, 5 Dis – “Lawan tetap lawan!” Demikian laung Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan yang membangkitkan semangat perjuangan kepada perwakilan Pergerakan Puteri UMNO bagi menentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini yang diibaratkan bukan sahaja hancing, tetapi sudah jadi badut lawak jenaka.

Katanya, rekod pemerintahan mereka ialah mencipta kesusahan demi kesusahan kepada rakyat.

“Kos sara hidup terus meningkat, pelabur kita lari, bisnes lembab, pengangguran terus meningkat dan pelbagai bentuk bantuan kerajaan pula di kurangkan. Pasaran saham kita jatuh paling teruk dalam sejarah dan paling teruk dalam dunia.

“Bahkan, Indeks Laporan Kebahagiaan Dunia 2019 atau ‘World Happiness Index’, menyatakan Malaysia jatuh daripada tangga 35 ke tangga 80. Kajian dikalangan 156 negara ini di buat oleh Agensi Bangsa-bangsa Bersatu. Bukan UMNO yang kata, Agensi PBB yang kata… ia adalah satu kejatuhan yang begitu teruk dan amat memalukan. Ertinya rakyat semakin tidak gembira dibawah pemerintahan kerajaan baru,” bidasnya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan dasar sempena persidangan Puteri UMNO dalam Perhimpunan Agung 2019 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Katanya, politik peralihan kuasa sangat-sangat memeningkan rakyat dan pelabur malahan di kalangan mereka, kelihatan jelas perbalahan yang tak boleh dilindungi antara parti dan kerajaan sendiri.

“Bila berbalah dan bergaduh, mereka basuh kotoran mereka di khalayak ramai. Mereka dedah aib sesama sendiri.”

Selain kegagalan ekonomi, katanya, mereka turut gagal dari segi melaksanakan reformasi institusi seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini.

“Dulu, mereka kata Suruhanjaya Pencegah Rasuah mesti bebas dari pengaruh politik. Semua itu sudah menjadi cerita dongeng.

“Lantikan Politik lebih teruk dari dulu, dan, pendakwaan terpilih dibuat sesuka hati. Badan ini tak lebih dari alat memuaskan nafsu dendam kesumat mereka yang tidak berkesudahan.

“PH bukan sahaja gagal memenuhi janji 100 hari mereka, bahkan dalam satu setengah tahun, kita tidak nampak sebarang pembaharuan yang boleh mereka banggakan.”

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini adalah untuk rakyat.

“Hanya yang mudah tertipu sahaja menerima dakyah bodoh yang mengatakan 62 tahun negara ini dirosakkan oleh kita. Sebaliknya kita tanya mereka, tanpa BN, siapakah yang selama ini memberi kemakmuran dan ruang yang besar kepada kemajuan yang dinikmati bersama.”

Ujar beliau, BN telah menyediakan pelbagai kemudahan demi keselesaan rakyat.

“Kita tidak menjanjikan kereta terbang yang kononnya boleh membawa kita dalam masa satu jam ke Pulau Pinang, tetapi kita bercakap falsafah asas pengangkutan awam, termasuk MRT, LRT, ECRL dan keretapi laju yang sedang kita bina tetapi dibantutkan oleh kerajaan sekarang.

“Kita percaya untuk menjadi negara yang maju kita mesti wujudkan sistem perhubungan darat dan udara yang efisien dan selamat.

“Bahkan kita beritahu rakan-rakan kita bagaimana inisiatif dan komitmen kerajaan dahululah, kita akan melihat lebuhraya Pan Borneo merentasi kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak. Lebuhraya tanpa tol itu pasti menjadi ‘game changer’ terbesar kepada rakan-rakan kita di sana.”

Selaras dengan itu, untuk memantapkan Puteri, beliau telah menggariskan 5S (Solidariti, Sinergi, Survival, Sukarela, Strategi) dan 3P (Perkaderan-Penguasaan Media Sosial- Penyemaian Aktivisme) sebagai ‘road map’ pada tahun ini selain bersetuju agar anak muda yang berumur 16 tahun secara automatik boleh menjadi ahli Pergerakan Puteri UMNO

“Kita kumpulan pendesak muda yang memahami denyut nadi orang muda. 3S’ (Story Board – Story Line- Story Telling) atau Papan Cerita- Jalan Cerita- Penceritaan.

“3S’ akan dijadikan naratif Puteri mempengaruhi pola fikir anak muda. Story Board dan Story line yang dekat di hati anak muda akan di cipta dan diulang-ulang secara konsisten.

“Di masa yang sama adik-adik Puteri akan digilap kemahiran Story Telling agar penyampaian dan pengucapan mereka lebih berimpak. Pemantapan Story Telling akan dilakukan di peringkat negeri, bahagian dan PDM bagi melahirkan penceramah, pemidato dan pendebat yang ada aura mempengaruhi, yang membawa naratif Story Board dan Story Line yang seragam dan dekat di hati anak muda.”

Katanya, penyampaian bukan hanya secara bersemuka. Penubuhan Skuad Cyber (SC) akan mengukuhkan Pergerakan Puteri di alam maya dan menjadi medium baharu Puteri berinteraksi dengan anak muda. SC akan memaksimumkan media sosial sebagai agen penerobos minda anak muda. Skuad Cyber inilah kader kita. Merekalah yang sepatutnya menguasai mana-mana platform debat di media sosial di negara ini.

“C.R.I.N.T (Content Creator- Research- Issue Based- Networking Influences-Youth Trend) menjadi naratif Skuad Cyber Puteri. Dimulakan dengan pembangunan kandungan dan penyelidikan setiap isu yang berkaitan dengan kepentingan negara dan anak muda.

“Skuad Cyber akan optimumkan penyebaran isu melalui jaringan dan pengaruh media sosial mengikut citarasa anak muda. C.R.I.N.T akan menjadikan Skuad Cyber lebih terarah dan berfokus dalam gerak kerja dan menjadi skuad Viraliti Puteri UMNO.

“3S’ dan SC akan terbantut jika kita tidak memfokuskan kepada belia dan beliawanis sebagai kumpulan sasar kita.” – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit