Laman Web Rasmi UMNO, umno.org.my Penghubung Parti Dan Rakyat – Mohamad

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kewujudan laman web rasmi UMNO iaitu umno.org.my mampu memberikan gambaran yang lebih luas rakyat terhadap parti.

Dengannya ia akan menjadi akses dan laluan mudah kepada masyarakat untuk mengenali UMNO dengan lebih dekat di samping dapat melihat betapa besarnya jasa UMNO di dalam membina negara bangsa Malaysia ini, ujarnya lagi.

“Saya harap dengan adanya laman web rasmi UMNO ini akan lebih memberikan gambaran yang lebih luas kepada masyarakat di luar sana dan mereka dapat mengenal UMNO dengan lebih dekat lagi.

“Inilah cara sepertimana cakap orang tua-tua ‘kalau tak kenal, maka tak cinta’. Bila mereka dah kenal, melihat jasa-jasa UMNO, idealogi UMNO, perjuangan UMNO, apa yang UMNO telah sumbang bakti kepada negara ini saya yakin orang akan melihat UMNO daripada perspektif yang berlainan.

“Daripada mendengar segala tuduhan dan tohmahan terhadap UMNO yang telahpun digambarkan begitu buruk sekali oleh mereka, musuh-musuh UMNO di luar sana,” katanya ketika melancarkan laman web rasmi UMNO umno.org.my di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Laman web rasmi UMNO itu memaparkan informasi-informasi mengenai parti antaranya seperti organisasi dan strukturnya, sejarah penubuhan dan perjuangan parti termasuk sayap pergerakan, biografi presiden-presiden, hal ehwal berkaitan pengurusan dan pentadbiran serta pautan berita-berita terkini.

Di samping itu, ia juga memaparkan pendaftaran keahlian secara ‘online’, selain secara konvensional melalui borang keahlian.

Oleh kerana itulah Mohamad berpandangan UMNO mesti menguasai sains dan teknologi supaya parti kekal relevan.

“Sekarang ini orang tak payah lagi pergi ke PWTC. Mereka boleh kenal UMNO melalui hujung jari. Kita mesti menggunakan sains dan teknologi untuk kita menjadi relevan di dalam dunia serba mencabar dan berubah ini.

“Salah satu faktor yang UMNO perlu berubah ialah kita menggunakan sains dan teknologi. Dunia sekarang kita tidak boleh lari daripada menguasainya,” katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada Penerangan UMNO Malaysia yang menghasilkan inisiatif tersebut.

Kewujudan laman web rasmi UMNO itu juga tambahnya mampu memberikan akses yang lebih luas kepada parti untuk berhubung dengan rakyat sama ada di dalam mahupun di luar negara.

“Inilah cara kita, kita tidak boleh lagi menjadi organisasi yang akan dilihat sebagai organisasi yang purba, organisasi yang hanya bergantung kepada cara lama (walaupun) baik tetapi zaman sudah berubah dan kita tidak dapat berhubung secara komunikasi berseorangan lagi,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.