UMNO Sebuah Perjuangan: Bahang PAU 2019 Semakin Hangat


KUALA LUMPUR, 4 Dis – Lokasi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sudah mula terasa bahang kemeriahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi tahun ini apabila kelihatan perwakilan dari sayap pergerakan mula mendaftarkan diri pagi tadi.

Hasil tinjauan UMNO Online mendapati, selain kakitangan Ibu Pejabat UMNO yang sibuk membuat urusan pendaftaran dan pendokumentasian, juga kelihatan warga kerja yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung semuanya dalam proses penyempurnaan tugasan di peringkat akhir supaya persidangan tahunan parti orang Melayu terbesar di negara ini dapat berjalan dengan jayanya.

Buat pertama kali, PAU tahun ini mendapat khidmat dari Skuad Sabil bagi memastikan keselamatan, keamanan dan kelancaran perhimpunan. Begitu juga Skuad Sayang yang membantu menjalankan kerja-kerja kebajikan.

Tidak ketinggalan, walaupun ekonomi negara semakin suram di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana negara terus ‘bernafas’, UMNO memberi ruang kepada lebih dua ratus gerai jualan menawarkan produk mereka, yang menyajikan pelbagai produk jualan seperti tekstil, produk kesihatan, bahan bacaan dan juga usahawan dalam talian di aras tiga PWTC manakala café rakyat dan ‘food truck’ di aras dua.

Terdapat juga acara-acara sampingan bermula semalam hingga 7 Dis nanti seperti Program W.i.S.E 3.0 (Ekonomi Rakyat), Pemeriksaan Kesihatan Wanita UMNO, Pameran Wanita Kreatif, Sofa Pink, Pelancaran Kelab Mahasiswa UMNO dan sebagainya.

Dan pastinya, ruang legar di hadapan skrin besar di aras dua pasti akan sesak dipenuhi ahli, penyokong dan pengunjung terutama kaum wanita dari seluruh negara yang saban tahun tanpa jemu begitu bersemangat menonton serta mendengar setiap perbahasan dari wakil-wakil negeri, bagi mendapatkan informasi yang tepat khususnya tentang hala tuju dan perjuangan UMNO dalam mendepani segala cabaran politik yang mendatang.

Malam ini, pentas persidangan dibuka bermula dengan acara perasmian perhimpunan agung sayap pergerakan yang akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan manakala pada Khamis, 5 Dis setiap sayap akan menunaikan tanggungjawab menyempurnakan persidangan masing-masing.

Pergerakan Wanita UMNO akan bersidang di Dewan Tun Hussein Onn, Pemuda di Dewan Merdeka dan Puteri di Dewan Tun Dr Ismail, PWTC.

Manakala sebelah pagi Jumaat, 6 Dis akan berlangsung acara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’, sebelum ucapan dasar Presiden oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Merdeka, PWTC.

Atas dasar keterbukaan UMNO, sesi perbahasan akan disiarkan secara langsung.

PAU 2019 kali ini juga turut akan mendapat liputan daripada lebih 70 media cetak dan media elektronik termasuk tujuh agensi antarabangsa.

Laman Media bertempat di Bilik Mawar, Aras 2, PWTC.

PAU 2019 akan berlangsung bermula hari ini sehingga 7 Dis nanti dengan anggaran seramai lebih lima ribu enam ratus perwakilan dan beratus ribu pengunjung serta pemerhati dijadualkan menghadiri perhimpunan itu. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit