RUU IPCMC: Bukan Sekadar Tangguh, Batalkan Sahaja – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Blok pembangkang tetap menolak penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) walaupun pihak kerajaan menangguhkan bacaan kedua dan ketiga usul Rang Undang-undang (RUU) tersebut ke sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selain penubuhan IPCMC yang akan menjatuhkan moral pihak polis, apa yang lebih utama bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah kebajikan anggota keselamatan tersebut.

“Saya bagi mewakili blok pembangkang mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembentangan bagi RUU IPCMC untuk bacaan kali kedua.

“Ini berlaku setelah kita di pihak pembangkang mendesak bukan sahaja di dalam dewan (Dewan Rakyat) tetapi juga di luar dewan supaya IPCMC ini tidak diteruskan kerana jika diteruskan tentu sahaja ianya akan menjatuhkan moral pihak polis.

“Begitu juga kita minta supaya diutamakan kebajikan pihak polis dan satu perkara lagi ialah ianya dilihat jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam satu sidang media bersama beberapa ahli Parlimen pembangkang dari Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan PAS sejurus mendapat berita penangguhan pembentangan RUU IPCMC ke sidang akan datang.

Jelas Ahli Parlimen Bera itu juga, sejak di peringkat awal lagi mereka konsisten menolak IPCMC.

“Peringkat pertama kita tolak pembentangan RUU ini di dewan dan selepas itu dibawa ke jawatankuasa ‘special select committee’ untuk berbincang dengan ‘stake holders’ di luar sana dan di dalam laporan ‘special select committee’ tersebut ahli yang mewakili kita menentang iaitu Datuk Seri Azalina (Azalina Othman) dari Pengerang dan Datuk Seri Dr Wan Junaidi (Wan Junaidi Jaafar), GPS dari Santubong.

“Rekodnya boleh dibaca dalam laporan keputusan dari ‘special select committee’. Jadi, sangat jelas wakil kita menentang.

“Maknanya kita menentang dalam dewan, di dalam ‘special select committee’ malah di luar dewan di mana-manapun kita menentang,” tegasnya lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata bacaan kedua dan ketiga usul RUU IPCMC 2019 ditangguhkan ke sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Menurut Ismail, RUU IPCMC yang ditambah baik tidak akan menjadi satu bentuk kawalan yang berkesan kerana ia telah melangkaui peruntukan undang-undang asas negara, iaitu Perlembagaan Malaysia terutama Perkara 140 dan Perkara 135 malah klausa-klausa yang dicadangkan dilihat memberikan tekanan yang melampau dan tidak munasabah terhadap anggota polis. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.