PAU 2019: Skuad Sayang Dan Skuad Sabil Berganding Bahu, Bekerjasama

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Komanden Skuad Sayang Wanita UMNO Malaysia, Datuk Shamsiah Yasin berbangga apabila Skuad Sayang diberi kepercayaan terlibat sama dalam upacara perbarisan bersama Skuad Sabil sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini.

Katanya, Skuad Sayang yang dibarisi seramai 60 orang sukarelawan itu akan memastikan ia dapat berjalan dengan lancar dan jayanya.

“Perbarisan PAU 2019 dari Skuad Sayang seramai 60 orang wanita dan terdiri dari bahagian-bahagian yang terdekat iaitu dari Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Skuad Sayang ini bukannya mahu bersaing dengan Skuad Sabil tetapi akan bergerak bersama kerana Pemuda adalah harapan bangsa dan kita merasa bangga dapat bersama-sama mereka,” katanya kepada UMNO-Online yang ditemui sebaik selesai raptai penuh upacara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’, di sini, Ahad.

Sementara itu menurut peserta Skuad Sayang dari UMNO Bahagian Shah Alam, Zainab Mohd Arshad selain teruja atas penglibatannya turut tidak sabar menanti acara kemuncak PAU pada 6 Dis ini.

“Acara yang paling besar dan dinanti-nantikan adalah pada 6 Dis ini. Pada hari itu adalah kemuncaknya Majlis Perasmian PAU 2019.

“Skuad Sayang ini telah lama mengikuti perbarisan selama 10 tahun. Ini adalah perbarisan yang pertama Skuad Sayang bersama Skuad Sabil dan pada hari Selasa 3 Dis adalah hari yang terakhir raptai perbarisan PAU,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu Pesuruhjaya Skuad Sabil Malaysia, Mohamad Fazly Zainudin menjelaskan bahawa ini adalah tugasan yang pertama dilakukan oleh Skuad Sabil untuk bertugas dalam PAU 2019.


“Untuk perbarisan pada 6 Dis ini semasa upacara perasmian, anggota Skuad Sabil akan bertugas seramai 60 orang yang dihadiri oleh 12 buah Negeri dari Semenanjung Malaysia.

“Alhamdulillah…seramai 400 petugas dari Skuad Sabil akan melaksanakan tugasan mereka pada PAU ini dan Skuad Sabil akan berkawal di setiap pelusuk pintu-pintu utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Harapan saya kepada kepada ahli-ahli UMNO yang hadir… insya-Allah Skuad Sabil akan bertugas dan menjaga keamanan semasa perhimpunan nanti,” tegasnya lagi.

Demikian juga bagi Ketua Jurulatih Skuad Sabil Malaysia, Mohd Rizan Razali yang merasa terharu diberi tanggungjawab yang amat penting pada PAU 2019 ini.

“Julung kalinya Skuad Sabil menyertai PAU 2019, diberikan amanah dan tanggungjawab untuk melakukan keselamatan terutama sekali pemimpin-pemimpin UMNO dan juga untuk memudahkan acara kesemua perwakilan-perwakilan yang berhimpun.

“Walaupun pengalaman hanya sedikit semasa bertugas pada Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) pada September lalu, namun amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada Skuad Sabil ini akan terus melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya dan memastikan kelancaran PAU 2019.

“Kami memohon kerjasama dari semua pihak agar sama-sama memberikan kerjasama walaupun Skuad Sabil Malaysia ini baru ditubuhkan,” tegas beliau lagi – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.