Dap Pengkhianat Negara… PDRM Didesak Siasat Perhimpunan Bekas Komunis

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak pihak PDRM menyiasat secara telus dan mengambil tindakan terhadap perhimpunan yang dikatakan bekas ahli kumpulan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) kerana ianya memberi ancaman kepada keselamatan negara.

Exconya, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris menganggap tahun ini adalah masa yang gelap dan memalukan bagi seluruh rakyat Malaysia kerana sebelum ini, pengganas LTTE dilindungi oleh pemimpin Dap dan kini pengganas komunis pula didukung sebagai wira negara.

“Pemimpin Dap seperti Ronnie Liu adalah pengkhianat terhadap negara kerana menyokong perjuangan komunis serta mengakui datuk dan abangnya adalah komunis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dilaporkan, semalam hampir 400 orang termasuk bekas ahli kumpulan pengganas komunis mengadakan perjumpaan di sebuah dewan di Kajang secara terang-terangan.

Tegasnya, komunis tidak layak digelar pejuang dan gelaran pejuang hanya untuk para tentera dan polis yang berkorban nyawa untuk melindungi negara ini daripada kekejaman komunis.

“Sebaliknya, komunis adalah pengkhianat dan pembelot negara serta mereka yang menyokong dan mengiktiraf ideologi ini tidak layak tinggal di Malaysia kerana tanah air ini dibina atas pengorbanan para polis dan tentera.

“Golongan ini sengaja mencabar kesabaran rakyat Malaysia dengan menghidupkan kembali perjuangan komunis kerana Dap yang menjadi pendukung mereka telah menjadi kerajaan pada hari ini.

“Mengapa parti Melayu di dalam PH tidak bersuara dalam isu ini?”

Soal beliau lagi, adakah kita pada hari ini dipimpin oleh sebuah kerajaan yang pro-komunis?

“Menghidupkan kembali perjuangan komunis akan mengancam keharmonian negara,” tegasnya lagi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.