Tg Piai Memilih, Pengundian Lancar

TANJUNG PIAI, 16 Nov – Proses pengundian di Pilihan Raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berlangsung lancar hari ini dengan para pengundi memenuhi pusat-pusat pengundian.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming, Pekan Nenas di sini.

Dr Wee tiba di pusat pengundian pada pukul 7.40 pagi.

Beliau yang mengundi di Saluran 4 dan isterinya, Datin Seri Lim Joo Hon (Saluran 6) selesai mengundi pada pukul 8.10 pagi.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut turun padang menemui jentera bagi mendengar maklumat terkini dan menyantuni pengundi antaranya seperti di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Durian, Kukup, di sini.

Tinjauan UMNO Online pagi tadi di beberapa pusat pengundian sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup seperti di Sekolah Kebangsaan Rambah, Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang dan Sekolah Kebangsaan Penerok mendapati jentera parti yang bertanding begitu bersemangat mengambil peluang merayu undi.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilihat turut sama turun menyantuni jentera parti dan pengundi di luar kawasan Sekolah Kebangsaan Penerok pada pukul 10.45 pagi tadi.

Hadir sama selepas itu, Ketua Penerangan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Jelas kelihatan jentera dan perayu undi didominasi dari BN dan Pakatan Harapan (PH), sedikit dari Berjasa.

Keadaan trafik yang agak sesak di beberapa lokasi pengundian berjaya dikawal dengan baik, atas bantuan pihak polis.

Pagi tadi berlaku sedikit kekecohan yang melibatkan antara penyokong BN dan PH di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming, Pekan Nanas, di sini dan berjaya diredakan oleh pihak berkuasa.

Secara keseluruhannya, situasi perjalanan proses pengundian yang berlangsung di sekolah-sekolah sekitar DUN Pekan Nenas juga dalam keadaan lancar dan cuma sesak pada pagi tadi.

Tengahari tadi, Dr Shamsul bersama Setiausaha UMNO Perak Datuk Azian Osman turut menyantuni jentera parti BN dan pengundi-pengundi di Rumah UMNO Sri Gading bagi memdengar taklimat terkini di PDM Melayu Raya.

Di Sekolah Kebangsaan Melayu Raya, kelihatan jentera BN lebih ramai daripada PH dan sedikit Berjasa manakala jentera parti Gerakan dan bebas tiada kelihatan. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79