Naratif Perjuangan: Sirah Rasulullah SAW Sebagai Panduan
12 Rabiul Awal merupakan tarikh yang cukup bermakna dan keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kelahiran dan pengutusan Rasulullah SAW telah mengubah corak kehidupan manusia daripada kejahilan kepada cahaya kesejahteraan. Pengarang dari Barat, Michael H Hart meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai manusia pada kedudukan paling teratas dan berpengaruh dalam bukunya berjudul 100 Most Influential People In The World.
Menurut Michael Hart “Nabi Muhammad ialah seorang pendakwah dan pemerintah yang seimbang dan luar biasa spiritual dan politiknya, mempunyai pengikut dan pengaruh seluruh dunia, Nabi Muhammad satu-satunya utusan yang meraih keberhasilan luar biasa. Nabi Muhammad mampu menguruskan bangsa yang awalnya egoistik, jahiliyyah, terkebelakang dan berpuak-puak kerana sentimen kesukuan yang begitu menebal. Namun akhirnya berubah menjadi bangsa yang maju dan bertamadun bahkan menguasai bidang ekonomi, sosial, kebudayaan, ketenteraan dan menguasai dua pertiga dunia”.
Ibnu Qayyim menyifatkan, Nabi Muhammad SAW menggabungkan sifat takwa kepada Allah dan sifat luhur. Sifat takwa dalam memperbaiki hubungan di antara seorang hamba dan Allah SWT. Sementara berakhlak mulia dalam memperbaiki hubungannya sesama makhluk Allah SWT manusia, haiwan dan alam seluruhnya.
Namun, menjadi satu kemusykilan apabila saban tahun ketika kita menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul pastinya ia tidak akan sunyi daripada polemik dan perdebatan di kalangan ilmuan dan ulama yang tidak berkesudahan mengenai keharusan meraikan Maulidur Rasul. Saya berpandangan perkara yang paling penting yang perlu ditelusuri ialah sirah dan naratif perjuangan Rasulullah SAW. Sirah perjuangan Rasulullah SAW sewajarnya dijadikan naratif Muafakat Nasional. Terdapat empat peristiwa yang dapat kita teladani dan dijadikan panduan bagi membentuk naratif Muafakat Nasional iaitu:
• Kehidupan Rasulullah SAW di desa Bani Sa’ad. Menjadi tradisi masyarakat Arab menyerahkan dan membesarkan anak-anak mereka di desa. Persekitaran yang baik ‘Biah Solihah’, nilai yang baik, jauh daripada Biah Tholihah dan anasir negatif Jahiliyyah yang wujud di perkampungan Bani Sa’ad telah membentuk dan mempengaruhi pola fikir dan keperibadian Rasulullah SAW.
Pasca PRU-14 menyaksikan pelbagai aliran pemikiran yang jelas bercanggah dengan Islam dan fitrah kehidupan insani mula mengakar dan merebak seperti fahaman liberalisme, pluralisme dan ajaran sesat yang jelas mempengaruhi pola fikir dan mengancam akidah umat Islam.
Menyedari ancaman tersebut, mewujudkan Biah Solihah menjadi antara agenda besar Muafakat Nasional berpandukan kepada petunjuk wahyu Ilahi dan berlandaskan kepada Perlembagaan negara. Biah Solihah yang mencakupi spiritual, pola fikir, ekonomi, keamanan, kesihatan dan sosial. Dibimbangi apabila biah solihah tidak diwujudkan segera, risiko rakyat yang menghidap penyakit mental akan meningkat sepertimana kata Ketua Jabatan Pakar Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah, Dr Ruzita Jamaluddin ‘Penyakit mental dijangka menjadi kedua tertinggi dihidapi rakyat Malaysia selepas penyakit jantung pada 2020’.
• Peristiwa Hajarul Aswad, kebijaksanaan Rasulullah SAW menyelesaikan permasalahan dan pertelingkahan dalam kalangan kabilah Quraisy dengan penuh hikmah dan harmonis tanpa meminggirkan sesiapapun. Sehingga tiada satu kabilah dan puak yang berasa diketepikan, semuanya dilibatkan dalam proses mengangkat Hajarul Aswad dan Rasulullah SAW diberikan penghormatan meletakkan Hajarul Aswad di tempatnya.
Muafakat Nasional menawarkan penyatuan yang menyeluruh bersifat insklusif tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Tanpa mengira warna kulit, kedudukan dan keturunan Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, orang Asli dan lain-lain semuanya dilibatkan dalam naungan panji Muafakat Nasional. UMNO dan PAS bertanggungjawab memegang teraju utama Muafakat ini.
• Rasulullah SAW ke Taif, bersama Zaid bin Haritsah berjalan kaki. Jarak antara Mekah dan Taif ialah 1,609 batu. Sabar dan cekal menjadi kunci Rasulullah SAW menempuh perjalanan yang jauh dan berhadapan dengan karenah penduduk Taif terhadap dakwah Baginda SAW. Walaupun dihina, dicerca, dilontarkan dengan objek yang mencederakan, disakiti mental dan fizikal, namun Baginda SAW tetap positif dengan perjuangan. Kepada Allah SWT, Baginda SAW memohon pertolongan dan mengadu “Ya Allah, Ya Tuhanku, KepadaMu aku mengadu atas kelemahanku, kurangnya helahku dan hinanya aku di hadapan manusia. Wahai Maha Penyayang Lagi Kasihan belas. Dikaulah Tuhan kepada golongan yang lemah dan dhaif. Dikaulah Tuhanku, kepada siapa lagi yang hendak ku menyerah? Apakah kepada orang yang jauh yang membenci daku?atau kepada seteru yang telah Kau beri kuasa mengatasi daku? …….”
Walaupun dilabelkan dengan pelbagai label yang negatif, tambahan pulak sekarang ini musim berkempen bagi PRK Tanjung Piai. Kempen kita cuba dihalang dengan pelbagai peraturan baharu yang kadangkala tak terjangkau di fikiran seperti syarat mendapatkan permit bagi semua perkara termasuklah kempen dari rumah ke rumah. Apapun halangan yang datang kita hadapi dengan positif dan berdoa ke hadrat Ilahi. Yakinilah Muafakat Nasional yang dijunjung dengan penuh kesabaran, kecekalan dan keikhlasan, pasti mendapat pertolongan Ilahi.
• Kisah di Gua Tsur, Abu Bakar as-Siddiq menjadi peneman Rasulullah SAW semasa berlindung di Gua Tsur dalam misi hijrah ke Madinah. Semasa berada di dalam gua Rasulullah SAW melabuhkan kepalanya di pangkuan riba Abu Bakar. Tiba-tiba kaki Abu Bakar di pagut oleh seekor ular yang berbisa, Abu Bakar hanya menahan kesakitan yang luar biasa itu daripada mengejutkan Rasulullah dari tidurnya. Namun tanpa sengaja, air mata kesakitan itu menitis mengenai pipi Rasulullah lalu membuatkan Baginda terjaga. Lalu Baginda SAW bertanya “Wahai sahabatku Abu Bakar, adakah kau menyesal kerana mengikut perjalanan ini?” Jawab Abu Bakar “Wahai Rasullah, tentu saja tidak. Aku sangat ikhlas untuk mengikutimu ke mana-mana sahaja.” Jawab Abu Bakar dengan yakin.
Muafakat Nasional memerlukan insan sehebat Abu Bakar sebagai bentengnya. Suka duka, susah senang diharungi bersama “kawan ketawa mudah dicari, kawan menangis sukar didapati. Di saat perjuangan kita diuji dengan pelbagai mehnah, fitnah dan tribulasi, setiakawan bukan sekadar ungkapan manis di bibir tetapi perlu disertakan dengan tindakan.”
Saya berkeyakinan ibrah dan naratif perjuangan Rasulullah SAW yang bermula dengan kehidupan di desa Bani Sa’ad, peristiwa Hajarul Aswad, Rasulullah SAW ke Taif dan kisah di Gua Tsur boleh dijadikan sebagai panduan dan asas bagi membina keyakinan dan sokongan rakyat kepada agenda Muafakat Nasional. Harapan saya semoga keputusan PRK Tanjung Piai Sabtu ini memihak kepada Barisan Nasional dan Muafakat Nasional.
AHMAD ZAHID HAMIDI
#muafakatnasional
#demiummah
#akhiratdidepan