Dap Berkuasa Hanya Untuk Penuhi Agenda Politik Mereka Sahaja – Mahdzir
TANJUNG PIAI, 15 Nov – Hasil kebijaksanaan pemimpin Melayu, Cina dan India terdahulu bersepakat sebelum merdeka dan bersetuju untuk membina sebuah negara yang merdeka telah mewujudkan toleransi yang tinggi demi keharmonian negara, ujar Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Katanya, pada ketika itu apa yang telah dipersetujui terangkum di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Islam agama persekutuan manakala agama dan budaya lain boleh diamalkan, mendaulatkan raja-raja Melayu, bahasa Melayu bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera serta taraf kewarganegaraan diberikan kepada orang Cina dan India.
Walaupun begitu ujarnya, setelah 62 tahun, perkara tersebut mula dirobek oleh Dap yang kini berkuasa sebagai kerajaan untuk melaksanakan agenda Malaysian Malaysia, konsep sama rata.
“50 tahun Dap hendak apa yang dia nak dan sekarang mereka sudah dapat tapi tak cukup lagi, baru 30 peratus.
“Kalau boleh dia nak 60 peratus jadi kuasa dalam negara. Dia hendak ranapkan kuasa orang lain.
“Hari ini dia ada exco (kerajaan negeri) di semua negeri, antaranya di Johor, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan tak cukup itu dia hendak perintah tapi dia cuba nak tunjuk lagaknya di sini,” tegasnya ketika berceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Kampung Permas Kelapa, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Durian di sini, Khamis malam.
Turut tampil berceramah, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.
Oleh kerana itulah tambahnya, sekarang rakyat resah dan bimbang dengan apa yang sedang berlaku.
Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut mengambil contoh apa yang terjadi kepada program yang diperkenalkan oleh Barisan Nasional (BN) dahulu, MyBrain yang kini telah dibatalkan.
“Tujuan program MyBrain ialah untuk anak-anak orang kampung yang pandai diberi biasiswa untuk melanjutkan pelajaran, dari peringkat ijazah sarjanamuda, sarjana hinggalah ke doktor falsafah (PhD).
“Dapat biasiswa bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sekarang sudah tiada, dibatalkan. Dibatalkan oleh orang yang hendak beri tol percuma di Simpang Renggam (Dr Maszlee Malik-Menteri Pendidikan) sebab ada ‘tangan’ yang pegang,” katanya.
Senario wujudnya ‘tangan’ tersebut diumpamakan ‘tangan’ yang mencatur penjualan dan pembelian ikan di sebuah pasar ‘Bisik-bisik’ di Kuala Muda, Kedah tambahnya lagi.
Menurutnya lagi, di situ terdapat beberapa orang menawarkan harga dengan cara berbisik ke penjual-penjual ikan dan mereka yang berjaya membeli sebenarnya merupakan orang tengah kepada pembeli sebenar.
Sebab itulah katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah kerajaan yang ditubuhkan oleh parti-parti yang masing-masing mempunyai agenda tersendiri dan hanya untuk memenuhi kepentingan politik serta bukannya hendak menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat. – UMNO ONLINE