PAS Johor Komited Menangkan BN, Nafi Gesaan Undi Calon Berjasa – Ust Abdullah


TANJUNG PIAI, 14 Nov – Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husain menafikan dakwaan dan khabar angin yang mengatakan wujud gesaan pemimpin PAS supaya pengundinya menyokong calon Berjasa.

“Ini tidak benar sama sekali. Kita telah dengar pengisytiharaan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang yang datang pada 6 Nov lalu menyatakan dengan tegas PAS menyokong calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

“Saya menegaskan PAS tidak berbelah-bahagi menyokong calon MCA. Nak dengar cakap siapa lagi? Presiden PAS dah cakap, pesuruhjaya (Johor) dah cakap. Jangan dengar cerita-cerita kalau datang orang berkempen dia kata Haji Hadi Awang suruh undi Berjasa.

“Jangan percaya kempen yang tidak sihat ini. Ada saya diberikan pengaduan ada kenderaan yang berlambangkan Berjasa atasnya bendera PAS. Ini provokasi. Kita pilih calon nombor dua, tolak calon-calon yang lain,” tegasnya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjong Ayer Hitam, Rabu malam.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Suraya Yaacob; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Presiden Veteran MAYC Kebangsaan, Datuk Nasir Safar.

Sebelum itu, Dr Wee dan Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut hadir menyampaikan kata-kata aluannya.

Dr Wee, calon BN antara enam yang bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di dalam kertas undi berada di petak kedua.

Dalam ceramahnya, Ustaz Abdullah Husain juga berkata bahawa Sahifah Madinah (Piagam Madinah) dijadikan panduan di dalam mewujudkan piagam Muafakat Nasional yang jelas tidak meminggirkan orang bukan Islam.

“Piagam yang kita meterai, mengambil contoh antaranya Sahifah Madinah. Piagam Madinah ini melibatkan orang Islam dan juga bukan Islam. Sebab itu kita tidak meminggirkan ‘non-muslim’.

“Penyatuan PAS dan UMNO tidak mengenepikan, walaupun UMNO ini dapat rakan baru PAS tapi tak lupa rakan lama MCA, MIC…masih boleh beri laluan lagi (calon pilihan raya),” ujarnya.

Tambahnya lagi, Piagam Madinah adalah pembentukan negara Islam yang pertama yang menjadi rujukan serta diiktiraf masyarakat antarabangsa.

“Perlembagaan yang digubal pada masa itu menjadi rujukan dunia antarabangsa, piagam yang dipimpin oleh Baginda Rasulllah SAW. Pakar-pakar perundangan antarabangsa menyatakan ‘this is the first constitution in the world’. Ini merupakan pengiktirafan.

“Inilah perlembagaan yang bertulis pertama di dunia yang ditandatangani oleh orang-orang Islam Aus dan Khajraz, kabilah terbesar di Madinah dan juga terdapat kabilah-kabilah Yahudi, kristian Najran dan juga golongan yang bukan Islam.

“Jadi inilah yang disebut ‘plural society’ (masyarakat majmuk) tiada masalah. Islam memimpin masyarakat majmuk. Bukan semua orang Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW, orang bukan Islam juga ada. Yang penting Islam menjadi dasar, prinsip dan menunjangi pemerintahan negara,” jelasnya lagi.

Ustaz Abdullah juga mengambil peluang mengungkapkan dua rangkap pantun di dalam ceramahnya.

Dari Kedah pergi ke Johor,
Berkempen pula di Tanjung Piai;
Pastikan Pakatan Harapan akan tersungkur,
Di dalam PRK yang hebat ini.

Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang hamba mengkuang layu;
Perpaduan kita perpaduan yang tepat,
Jangan ada yang ragu-ragu.

Akhir majlis, Dr Mahfodz yang juga bekas Pesuruhjaya PAS negeri membacakan doa, antara lain memohon agar BN memperolehi kemenangan di PRK Tanjung Piai ini. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit