Permit Kempen: Blok Pembangkang Bantah Arahan Baru SPR
KUALA LUMPUR, 13 Nov – Blok pembangkang hari ini sebulat suara melahirkan bantahan terhadap arahan baru yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, susulan daripada itu, usul bantahan tersebut akan dibawa ke dalam sidang Dewan Rakyat esok dan bantahan itu juga akan difailkan di mahkamah bagi mencabar arahan SPR.
“Arahan ini bertujuan menyekat pergerakan agen parti politik yang bertanding dan amat menyusahkan… perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Peraturan baru ini bertentangan dengan Akta Pilihan Raya 1954 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1958. Jadi kita tidak tahu atas akta apa SPR memperkenalkan peraturan baru ini kerana ia bertentangan dengan akta.
“Misalnya Seksyen 24(b)(3)… ianya menyebut tentang kempen terbuka… semuanya menyebutkan tentang perjumpaan awam terbuka… perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka, hiburan awam terbuka, ucapan awam terbuka, syarahan awam terbuka… semuanya permit diperlukan untuk kempen secara terbuka, tidak adapun disebutkan kempen rumah ke rumah,” ujar beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tanjung Karang telah pun menghantar usul bagi membahaskan isu ini dan peguam juga telah dihubungi untuk mencabar tindakan yang dilakukan oleh SPR.
“Kita akan bawa ke mahkamah selepas PRK Tanjung Piai. Ini bukan soal kita menang atau kalah kerana ia isu yang berlainan.
“Tujuan kita adalah untuk mendapatkan pengesahan adakah SPR melanggar akta atau tidak,” ujar beliau.
Semalam, Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun, dilapor mengingatkan semua parti dan calon bertanding supaya mendapatkan permit daripada polis jika berkempen dari rumah ke rumah kerana ia suatu bentuk berkempen.
Selain itu, beliau berkata, program tinjauan mesra yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan. – UMNO ONLINE