PH Berkerajaan Kerana Hasutan, Fitnah, Janji-janji Manis – Dr Zambry

TANJUNG PIAI, 12 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa yang terbina selama 61 tahun dengan sekelip mata akibat hasutan fitnah yang dahsyat serta terpengaruh janji-janji manis Pakatan Harapan (PH).

Katanya, akibat tindakan PH ini, BN buat pertama kalinya hilang kuasa dan tumpas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Apabila hilang kuasa … inilah jadinya. Selepas PRU lalu, untuk pertama kali dalam 61 tahun kita hilang kuasa dan hari ini yang rakyat dapat melihat bagaimana PH mentadbir berbandin BN.

“Pada tahun 2008, Negeri Perak hilang kuasa, Pulau Pinang pun hilang kuasa sampai sekarang tidak boleh diambil. Pada PRU lalu pula kita hilang kuasa negeri-negeri termasuk juga di peringkat Persekutuan hanya kerana fitnah dan hasutan dari mereka yang hari ini jadi kerajaan.

“Apa benda yang kita tak buat, nak kata hebat… tidak, BN sentiasa utamakan rakyat namun kerana janji-janji manis PH rakyat termakan namun janganlah gundah-gulana kerana tentunya ada hikmah-hikmah tertentu,” katanya ketika berucap di dalam majlis perjumpaan bersama rakyat di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tenggayun, Pekan Nenas, malam tadi, di sini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad; Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim dan Khaidiriah Abu Zahar; Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah dan Penceramah bebas Mohd Zamri Mohd Zainudin.

Dalam masa yang sama, Dr Zambry menjelaskan kekalahan BN telah membentuk kesepakatan yang terjalin jelas dikalangan Melayu Islam untuk duduk dalam satu saf hari ini.

“Semuanya baru sedar selama ini kesepakatan yang dibuat kalau kita bersatu akan menjadi kuat termasuk juga penduduk yang bukan Melayu Islam. Kita dapat duduk bersama-sama di bawah barisan maka kita akan kuat untuk BN.

“Dengan pelbagai janji-janji yang tidak ditepati dan bermacam-macam lagi yang berlaku di hadapan kita maka tentunya hari ini rakyat boleh melihat sama ada kerajaan ini yang baik atau kerajaan dulu yang lebih baik,” tambahnya.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai, bekas Menteri Besar Perak itu menyatakan calon BN menjadi harapan dan tumpuan seluruh rakyat selepas termeterainya Muafakat Nasional.

“Mereka terkejut dalam PRK ini dengan tiba-tiba kita (BN) membuat keputusan memilih calon dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

“Kita hidup dalam masyarakat yang pelbagai bangsa dan persefahaman. Kita bina negara ini dan pihak PH tidak mahu lihat persefahaman ini terjalin.

“Pada 16 November ini kita turun beramai-ramai dan memberikan dukungan yang padu kepada BN dan jangan dengar hujah-hujah PH,” tegasnya lagi – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit