Dap Dominasi PH, PPBM Hanya Menurut

TANJUNG PIAI, 10 Nov – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jelas tidak mampu mengawal Dap yang mendominasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dari parti itu, tegas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii.

Mengambil contoh isu tulisan jawi yang amat dekat di hati orang Melayu, Razlan berkata Tun Dr Mahathir akhirnya akur keputusan kabinet yang umum tahu dikuasai oleh Dap.

“Apa yang terjadi dengan tulisan jawi? Tun Dr Mahathir semasa krisis jawi beliau berdegar-degar berkata Dong Zong adalah rasis. Seminggu kemudian, Tun pergi ke luar negara dan Maszlee Malik (Menteri Pendidikan-PPBM) duduk dalam kabinet (putuskan) daripada enam muka surat menjadi empat muka surat.

“Minggu kemudian Tun Dr Mahathir mempengerusikan mesyuarat kabinet, di situlah sebenarnya PH gagal mempertahankan tulisan jawi. Tulisan jawi yang diminta hanyalah khat bukan suruh tulis alif, ba, ta…hanya tekap.

“Itupun sebenarnya Dap rasis tidak bagi untuk memperkenalkan tulisan jawi kita,” bidasnya dalam ceramah isu semasa di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tenggayon di sini, Sabtu malam.

Dap juga katanya adalah sebuah parti cauvinis yang tidak akan bertolak ansur walau seinci berkenaan dengan agama Islam.

“Di Seputeh ada sebuah masjid besar di Taman Desa. Hari ini di masjid itu tidak dibenarkan pembesar suara keluar ketika khutbah Jumaat…tak boleh. Ini terjadi di Malaysia ini. Dikata majoriti di situ orang bukan Islam tetapi masjid penuh.

“Apa yang terjadi di negeri Johor? Juga ada di negeri ini yang disuruh perlahankan azan. Pernahkah kita terfikir negara kita ini diancam sebegini rupa,” tegasnya lagi.

Contoh lain tambah Razlan adalah mengenai Rang Undang-Undang 355 yang bertujuan untuk memperkasakan undang-undang syariah bagi memperkuatkan mahkamah syariah tetapi Dap dan golongan liberalis masuk campur menentangnya.

Oleh sebab itulah katanya, banyak perkara yang telah diwariskan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah diancam oleh kerajaan baharu itu.

“Negara ini ada kedaulatan, negara ini kita tuntut kemerdekaan dulu dengan satu perjanjian. Perjanjian ini semua sudah setuju dan dimeterai.

“Orang Melayu, Cina, India telah setuju. Kita sudah bersetuju agama Islam agama rasmi, hak-hak bumiputera, tanah-tanah Melayu. Kita sudah setuju bahawa bahasa kita adalah bahasa Melayu.

“Yang tak setuju sampai hari ini adalah Dap. Sebab itulah menang sahaja PH ada buat kenyataan rasmi kerajaan dengan bahasa ibunda mereka sampai Sultan keluarkan titah menegur exco PH Dap itu,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.