Kegagalan Kerajaan PH Kedah Tarik Pelabur Bakal Beri Kesan Buruk
PADANG SERAI, 8 Nov – Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Datuk Asmadi Abu Talib melahirkan kerisauan sekiranya kerajaan negeri Kedah pimpinan Pakatan Harapan (PH) gagal menarik pelaburan baru untuk melabur di Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech Park atau KHTP).
Jelas beliau, kerisauan tersebut adalah kerana ia akan memberi kesan buruk kepada pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
“Pembangunan KXP adalah sangat-sangat bergantung kepada tahap kemasukan pelaburan ke KHTP dan apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Kedah mengumumkan tiada pelaburan baru berjaya ditarik ianya menimbulkan kerisauan dan keresahan.
“Kerisauan ini juga timbul kerana apabila sesi persekolahan akan tamat tidak lama lagi, lantas lebih banyak peluang pekerjaan diperlukan untuk menampung anak-anak muda yang baru sahaja tamat pengajian di sekitar Padang Serai.
“Jika tidak ada pelaburan, bagaimana mereka ini mahu mencari pekerjaan,” ujar beliau dalam sebuah program temu bual yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah baru-baru ini.
Dedah Asmadi, di Kulim Hi-Tech sendiri kilang Osram bakal ditutup, kilang Infineon pula bakal membuang pekerja manakala rata-rata kilang lain telah membekukan kerja lebih masa.
“Keadaan ini sangat merisaukan dan kerajaan negeri diharap dapat melihat kembali langkah-langkah yang patut diambil bagi mengatasi masalah ini”, tambah beliau lagi. – UMNO ONLINE