Rakyat Biasa Didakwa, Pemimpin Dap Kebal Undang-Undang? – Zahida


KUALA LUMPUR, 6 Nov – Terbukti kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini menggadai prinsip ‘rule of law’ dan kedaulatan undang-undang apabila mengamalkan pendakwaan terpilih dengan mendakwa musuh dan rakyat biasa tetapi membebaskan rakan politik mereka, tegas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Beliau berkata demikian berikutan keputusan Mahkamah Sesyen Seremban hari ini membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dap, Seremban Jaya P. Gunasekaran.

“Terkejut dan marah, itulah perasaan rakyat Malaysia apabila dapat berita dua pertuduhan terhadap P.Gunasekaran ADUN Dap Seremban Jaya dibatalkan begitu sahaja.”

Maklumnya, perasaan sama turut dizahirkan rakan-rakan dalam PDRM sendiri yang amat kecewa dengan tindakan pihak pendakwa raya untuk tidak meneruskan pendakwaan kes yang melibatkan Kumpulan Pengganas LTTE itu.

“Persoalan demi persoalan dibangkitkan, adakah kerana Peguam Negara yang dilihat rapat dengan Dap jadi faktor pembatalan tersebut?

“Rakyat gusar dan rasa tidak selamat apabila kerajaan tidak telus, tidak adil dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap kes-kes yang melibatkan keselamatan negara. Adakah ini kerajaan yang mahu dipertahankan lagi?” soal beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam hal ini beliau mengajak imbas kembali berita kes pada 26 April 2017 Siti Noor Aishah iaitu seorang siswazah wanita Melayu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah memiliki 12 buah buku berkaitan kumpulan pengganas pada Mac tahun sama.

“Tiada perbezaan tuduhan antara mereka berdua, yang mana ADUN Dap tersebut didakwa menyokong menyokong LTTE dan memiliki serta mempamerkan barang berkaitan dengan kumpulan pengganas itu.

“Malang bagi Siti Noor Aishah adalah kerana dia hanyalah rakyat biasa dan bukan pemimpin Dap, jadi merengkoklah dalam penjara selama lima tahun.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman. Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, di sini, masing-masing pada pukul 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Okt lepas.

Gunasekaran diwakili barisan empat peguam yang diketuai RSN Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit