Menteri PH Dihujani Soalan Kebajikan Penoreh Getah Di Parlimen

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbelakalan 2020 Kementerian Industri Utama, oleh menterinya, YB Teresa Kok mencetuskan pelbagai persoalan daripada kalangan ahli parlimen pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam soalannya, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera ingin tahu bagaimanakah kementerian akan mempermudahkkan bayaran insentif kepada penoreh kerana Lembaga Getah Malaysia (LGM) tidak berada di setiap daerah.

“Isu ‘claim insentif’… susah nak ‘claim’ kerana Lembaga Getah Malaysia (LGM) tidak ada di setiap daerah dan lebih-lebih lagi di kampung tidak ada… di ibu negeri sahaja.

“Kalau dahulu kita adakan kerjasama dengan RISDA kerana RISDA bukan sahaja ada di daerah tetapi dia ada stesen satelite di kampung-kampung.

“Maknanya lebih mudah untuk penoreh ‘claim’ insentif berkenaan di pejabat-pejabat RISDA. Jadi adakah kementerian mengadakan hubungan dengan RISDA ini supaya duit insentif itu akan diserahkan keoada RISDA untuk dibayar kepada pekebun kecil,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang bangun sebelum itu turut bertanyakan mengenai nasib penoreh getah mengenai harga lantai untuk komoditi berkenaan demi kepentingan serta kebajikam penoreh seluruh negara.

“Saya cuma mewakili rakyat khususnya di Kedah-Baling… pengeluar terbesar getah pekebun kecil. Hari ini saya tengok YB Menteri tidak sempat bahas pasal getah ini cuma nak bertanya apakah cadangan ataupun kaedah kerajaan Pakatan Harapan yang banyak YB bercakap panjang lebar berkaitan semua rakan-rakan menteri akan bantu untuk adakan harga lantai getah ini…?

“Kita minta… kalau dulu pernah sampai RM7.00 sekilogram dan hari ini tinggal RM1.90… RM2.00… harga ikan kembong pun RM14.00 sekilogram. Bagaimana mereka nak makan? Saya nak tanya menteri apakah solusi yang ada dalam cadangan untuk ada harga lantai RM3.50 sen… paling tidak untuk kerajaan memaklumkan kepada rakyat khususnya pekebun-pekebun kecil getah di seluruh negara,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit