Formula Perkongsian Kuasa Jadi Asas Kepada Pemilihan Calon BN Di Tanjung Piai

Segala persoalan terhadap teka teki pemilihan calon untuk bertanding kini sudah terjawab pada awal malam tadi apabila Barisan Nasional telah pun mengumumkan calonnya yang akan bertanding di P165, Tanjong Piai.

Pemilihan semula Dr Wee Jeck Seng, bekas calon Parlimen P165 Tanjong Piai pada Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu dalam Pilihanraya Kecil pada kali ini amat besar impaknya jika hendak dibandingkan sewaktu keputusan diperolehi pada Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu.

Pemilihan Dr Wee Jeck Seng sekaligus mengenepikan dakwaan sesetengah pihak bahawa tanggapan parti Barisan Nasional yang kini terbelenggu dengan konotasi Perpaduan Ummah yang telah menyaksikan penyatuan dua parti politik terbesar iaitu UMNO dan PAS yang membentuk Muafakat Nasional kini sudah terjawab apabila memilih semula orang lama yang sudah serasi dan masak dengan kawasan Parlimen ini untuk dicalonkan semula sebagai calon dalam Pilihanraya Kecil pada kali ini.

Pemilihan calon yang datang dari MCA pada kali ini membuktikan bahawa Muafakat Nasional yang sedang dalam proses ujian ketahanannya yang julung kali diuji pada kali ini masih lagi tidak dapat lari daripada konsep “Perkongsian Kuasa” yang telah menjadi asas kepada pentadbiran negara sejak daripada zaman kemerdekaan lagi.

Adalah diakui juga bahawa terdapat kekeliruan didalam golongan masyarakat dalam memberi perbandingan terhadap konsep penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional yang telah berlaku pasca Pilihanraya Umum yang ke 14 di mana di dalam Muafakat Nasional, gabungan antara parti komponen dalam Barisan Nasional iaitu UMNO, MCA dan MIC masih lagi wujud dan pada kali ini Muafakat Nasional telah disertai oleh PAS yang mana secara dasarnya gabungan ke empat-empat parti komponen inilah yang telah menjadi tunjang kepada Muafakat Nasional pada hari ini.

Jadi, selepas kejayaan Barisan Nasional mengharungi tiga siri Pilihanraya Kecil di Parlimen Cameron Highlands di Pahang, Dewan Undangan Negeri Semenyih di Selangor dan Dewan Undangan Negeri Rantau di Negeri Sembilan, maka ujian yang julung kalinya akan berlaku di Parlimen Tanjong Piai untuk kemuafakatan komponen dalam parti Barisan Nasional dan koalisi barunya iaitu PAS dalam Muafakat Nasional akan teruji.

Mengikut rekod, dalam ketiga-tiga siri pilihanraya kecil yang lalu telah menyaksikan parti PAS telah pun memberikan kerjasama yang baik kepada seteru barunya iaitu Barisan Nasional dalam memastikan kejayaan dan kemenangan yang diperolehi.

Berdasarkan info dan maklumat, Barisan Nasional mempunyai “track record” yang baik di Tanjong Piai sebelum ini kerana kerusi tradisi parti MCA ini tidak pernah kalah kepada parti lain kecuali dalam Pilihanraya Umum yang ke 14 sebelum ini dengan kekalahan sebanyak 524 undi.

Namun, atas sebab itu ianya tidaklah harus dijadikan sebagai alasan untuk bekerja sambil lewa dan terlalu mengambil mudah oleh jentera Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil pada kali ini.

Barisan Nasional pada kali ini akan berhadapan dengan bukan hanya parti PPBM di Johor tetapi juga akan berhadapan dengan jentera kerajaan pusat yang sudah pastinya memiliki kelebihan.

Segala perancangan dari segi taktikal dan logistik haruslah dilipatganda kerana PPBM dan parti komponen Pakatan Harapan sudah pasti akan mempertahankan Parlimen Tanjong Piai yang dimiliki mereka.

Barisan Nasional pula perlu membuktikan bahawa gelombang dan momentum kebangkitan daripada kemenangan yang diperolehi sebelum ini di tiga kawasan dalam siri pilihanraya kecil yang lalu perlu diteruskan.

Momentum kemenangan ini adalah merupakan isyarat penting yang harus ditunjukkan oleh Barisan Nasional sebagai salah satu cara untuk memberikan tekanan kepada pihak kerajaan supaya memberikan keutamaan terhadap soal-soal kebajikan rakyat selain daripada memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat dan tidak terlalu berpolitik dan berpolemik dalam mentadbir.

Mengenjak usia pentadbiran yang hampir mencecah dua tahun, Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan seharusnya sudah pun mempunyai halatuju dan misi yang jelas untuk membawa negara ke arah satu tahap yang boleh dibanggakan.

Frasa “Malaysia Sebagai Harimau Asia” harus segera dibuktikan melalui dasar dan perancangan yang komprehensif dan tepat agar dapat memacu negara ke arah yang dikehendaki.

Dalam soal pengurusan hutang negara misalannya, peningkatan hutang negara berjumlah RM799.1 bilion pada akhir bulan Jun 2019 kepada RM812 bilion pada bulan ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh pihak kerajaan pada hari ini.

Selain itu, rekod untuk nisbah hutang negara kepada KDNK pula telah mencapai kenaikan kepada 52.7 peratus berbanding angka 48.7 peratus pada suku pertama tahun 2018 sewaktu kerajaan Barisan Nasional memerintah.

Bahkan, apa yang menyedihkan ialah jumlah hutang kasar baru yang telah dipinjam oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk enam bulan pertama tahun 2019 adalah berjumlah RM81.3 bilion.

Sudah pastinya angka-angka ini amat menggerunkan dan ianya bukanlah satu rekod yang baik untuk menjadikan Malaysia Sebagai Harimau Asia.

Justeru, pihak kerajaan haruslah memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap perancangan dasar-dasar ekonomi yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat kerana ianya mampu untuk memastikan halatuju dan misi negara ke tahap yang lebih baik dan tinggi mampu dicapai.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kerajaan ini adalah merupakan kerajaan baharu tetapi halatuju yang jelas dalam perancangan ekonomi haruslah dilakukan dengan baik dan tepat agar dapat memacu Malaysia ke arah yang lebih berjaya.

Sebagai penutup, adalah diharapkan agar pilihanraya kecil di Parlimen Tanjong Piai ini mampu dijadikan pilihanraya pertama yang menyaksikan calon-calon bertanding dapat membawa budaya politik matang dan tidak terlalu terikut-ikut dengan stigma budaya politik lama supaya dapat dijadikan penanda aras kepada kempen budaya politik yang aman dan sihat serta dapat menyuburkan amalan demokrasi dalam negara ini.

ACHMAD DZARIEAN MOHD NADZRI (PhD)
Felo Penyelidik
Institut Kajian Politik Malaysia(UUM MAPAN)
Universiti Utara Malaysia

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.