Wee Jeck Seng Calon BN PRK Tanjung Piai

TANJUNG PIAI, 30 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad mengumumkan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, sebagai calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Parlimen Tanjung Piai.

Dalam sidang medianya malam ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu berkata pucuk pimpinan BN sebulat suara bersetuju dengan pencalonan tersebut.

Tambah Ir Hasni, Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu berpengalaman sebagai pembawa suara rakyat baik di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana Wee pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai pada tahun 2008 hingga 2018 dan sebelumnya sebagai ADUN Pekan Nenas.

Wee juga pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Pemilihan Wee juga ujar Ir Hasni, sebagai terjemahan kepada Muafakat Nasional, bukan sahaja menjaga kepentingan Melayu dan Islam tetapi rakyat keseluruhannya.

Turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan, barisan kepimpinan UMNO, MCA dan MIC serta PAS Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November, Sabtu.

Hari penamaan calon pula akan diadakan pada 2 November, Sabtu manakala undi awal ditetapkan pada 12 November, Selasa.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada Sept lalu.

Seramai 52,986 orang pengundi akan terlibat proses demokrasi tersebut, yang terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan 8 orang pengundi tidak hadir (luar negara) berdasarkan Daftar Pemilih Suku Tahun Kedua 2019 yang dikemaskini sehingga 23 September. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79