Tiada Hala Tuju Dan Perancangan Untuk ATM – Hishamuddin


KUALA LUMPUR 22 Okt – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn merasa kecewa terhadap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang tidak mengambil berat mengenai kebajikan hal ehwal anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, sudah tiba masanya memberi ruang dan peluang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyesuaikan diri tetapi nampak mereka tiada hala tuju dalam perancangan belanjawan untuk ATM.

“Hampir dua tahun kita beri ruang dan peluang untuk Mohamad Sabu memastikan sekurang-kurangnya ada hala tuju dan perancangan belanjawan bukan sahaja Belanjawan 2020 tetapi bajet tahun lepas diterangkan kepada masyarakat … bagaimana ianya dibelanjakan?

“Kebajikan anggota ATM dalam konteks perumahan, kesihatan, pendidikan anak-anak anggota tentera tidak dijaga dan yang berhubung kait dengan veteran-veteran ATM sama ada yang berpencen atau belum berpencen, semua ini perlu diambil kira,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

Bekas Menteri Pertahanan itu menjelaskan isu pertahanan harus diambil kira kerana ia cukup penting untuk negara.

Hishamuddin turut mempertikaikan apa yang dibelanjakan pada tahun lepas tidak dibentangkan.

“Harap-harap kertas putih yang berkisar penyediaan ATM selama 10 tahun akan dibentang tidak lama lagi dan memerlukan perincian setiap tahun bersandarkan bajet yang di bentang.” – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.