Jelutong Dan Dap Tidak Profesional, Ganggu Perbahasan Pembangkang – Mahdzir
KUALA LUMPUR 22 Okt – Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid membidas sikap pemimpin-pemimpin Dap yang kurang sopan apabila pihak pembangkang berbahas dalam Parlimen.
Jelas beliau, sikap biadap yang ditampilkan pemimpin Dap terutamanya ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menunjukkan mereka sering mencetuskan kebencian dan tidak mempunyai budi bahasa yang baik selaku ahli Parlimen.
“Jelutong adalah ahli Parlimen Dap yang biadap dan tidak mempunyai budi bahasa, suka provokatif, mengganggu ahli parlimen pembangkang apabila berbahas di dalam Dewan Rakyat.
“Bagi saya ini tak betul dan sangat tidak profesional dan boleh dikatakan beberapa ahli Parlimen dari Dap sangat menggangu ahli parlimen pembangkang apabila membahas di Parlimen” katanya kepada UMNO Online di lobi Parlimen, di sini.
Mahdzir yang juga Ketua Whip Pembangkang menegaskan sikap yang tidak profesional sering ditunjukkan pemimpin-pemimpin Dap dan acap kali mengganggu pihak pembangkang apabila berbahas.
“Apabila saya menyebut mengenai ahli parlimen Bagan, Lim Guan Eng mereka (Dap) bangun dan mempertahankan. Guan Eng diibaratkan sebagai ‘tokong’ bagi Dap dan pembangkang tidak boleh marah mengenainya.”
Tambahnya lagi, pemimpin Dap sanggup mempertahankan apa yang dilakukan dan diperkatakan oleh Menteri Kewangan itu seolah-olah semuanya betul dan benar.
Sebagai contoh pelajar Universiti Malaya yang cenderung kepada Dap dan membawa plakat semasa konvokesyen baru-baru ini jelas menampakkan bahawa pelajar tersebut merupakan penyokong Dap dan ini adalah salah satu budaya yang tidak baik ditampilkan dan pimpinan Dap pula memuji sikap buruk pelajar tersebut, ujarnya. – UMNO ONLINE