Jentera Media Sosial Perlu Selangkah Ke Depan Kenali isu – Tajuddin
KUALA LUMPUR, 21 Okt – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Rahman berkata, jentera media sosial UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu selangkah ke hadapan menjangka tindakan musuh politik.
Jelas beliau, ini penting dalam memastikan gerak kerja berkesan demi kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
“Kita kena mendahului, menjangkau dan menjangka apa yang musuh politik akan buat. Jangan kita tunggu sahaja dan kemudian menjawab tuduhan yang dilemparkan.
“Media sosial ini adalah alat untuk berperang, jadi gunakanlah sebaik mungkin. Kalau cerita pasal kahwin lagi satu laju nak kongsi. Begitu juga dalam hal politik.
“Kita perlu berubah kerana kita ada tanggungjawab penting untuk PRU ini,” ujar beliau ketika berucap dalam program himpunan dan pelancaran jentera media sosial Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Auditorium UMNO, petang Ahad.
Tambah Tajuddin, jentera media sosial juga harus pandai mengenal pasti isu untuk setiap golongan.
“Kita kena tahu isu apa nak cakap dengan golongan mana. Janganlah cakap dengan petani pasal pertukaran wang asing dan saham.
“Kita kena berkomunikasi tepat dengan sasaran. Kerajaan sekarang tahu kelebihan kita adalah luar bandar maka sudah pasti mereka akan perang habis-habisan untuk dapat sokongan luar bandar. Maka kita kena ke hadapan,” tegas beliau. – UMNO ONLINE