Mana Bekalan Benih Padi? – Jamil Khir


ALOR SETAR, 19 Okt – “Mana bekalan benih? Sawah sudah dibersihkan hanya menunggu benih padi untuk ditaburkan tapi benih tidak ada,” itu bersoalan yang dilontarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jelas beliau, kebiasaannya, para pesawah akan mendapat bekalan benih dari pihak kerajaan namun kini bekalan benih bersubsidi tidak terdapat dalam pasaran sebagaimana sewajarnya.

“Yang ada padi benih tanpa subsidi yang dijual dengan pelbagai harga oleh pihak swasta. Ini menguntungkan pembekal swasta dan merugikan petani. Pihak kerajaan dan agensi berwajib perlu segera menangani permasalahan ini kerana ianya amat menekan para petani kerana kos pembelian padi benih tanpa subsidi akan menambah bebanan kewangan kepada petani.

“Keadaan ini amat meresahkan kehidupan petani dan pesawah sedangkan musim menabur benih telah bermula,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Jamil Khir, sekarang ini bukan masanya untuk menuding jari mencari salah siapa tetapi kerajaan perlu mencari jalan penyesaian segera.

“Alasan lambat dimaklumkan jumlah benih yang diperlukan bukan isu kerana jumlahnya adalah sama setiap tahun… ia adalah konsisten.

“Justeru, kerajaan perlu menyediakan jumlah benih bersubsidi yang sama jumlahnya setiap musim. Jika tidak, petani terpaksa membeli padi benih tanpa subsidi yang pastinya membebankan petani ditambah pula kos sara hidup yang meningkat,” bidas beliau. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.