KPM Digesa Siasat Segera Pengedaran Komik Propaganda Putar Belit Sejarah
KUALA LUMPUR, 18 Okt – Pergerakan Wanita UMNO Malaysia menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyiasat serta memberi penjelasan mengenai pengedaran komik berbentuk propaganda yang diedarkan di sekolah-sekolah.
Jelas ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad, siasatan terhadap perkara ini perlu diambil segera sebelum komik ini diedarkan secara meluas ke seluruh Malaysia.
“Wanita UMNO terkejut dengan penerbitannya dan beranggapan komik berkenaan mengundang bahaya kerana mengandungi unsur-unsur putar-belitkan sejarah untuk menafikan kerajaan terdahulu. Ia juga dikatakan mengandungi maklumat cuba ‘menghalalkan’ komunis.
“Perkara ini bukan sahaja boleh disifatkan biadap tetapi ia juga boleh dianggap mencabar undang-undang negara. Tidak mustahil satu hari nanti sejarah Malaysia boleh diubah sesuka hati. Lebih parah lagi, pengorbanan nenek moyang kita terdahulu dimanupulasikan demi kepentingan pihak-pihak tertentu.
“Jika perkara ini tidak disanggah dan diambil tindakan sewajarnya, tidak hairan dari sekecil-kecil percubaan akan menjadi lebih besar suatu hari nanti. Siapa yang rugi? Tentunya generasi kita akan datang. Mahu ke kita lihat mereka terkontang-kanting mencari sejarah sebenar tanah air sendiri? Ini hakikat yang perlu kita akur jika perkara ini terus dipandang remeh,” ujar beliau melalui satu kenyataan media.
Baru-baru ini tular di media sosial mempertikaikan berkaitan komik yang bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang didakwa menyebarkan propaganda politik dan diedarkan di sekolah-sekolah.
Mengulas berkaitan isu ini, semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, blok pembangkang akan mengemukakan usul ke Dewan Rakyat sekiranya perkara ini benar.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula menulis di posting media sosialnya mempersoalkan sama ada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memberi kebenaran sebuah komik didakwa berbentuk propaganda diedarkan di sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan di negara ini.
Najib turut memuat naik gambar sepucuk surat kebenaran dan beberapa helaian muka surat komik tersebut yang menyiarkan propaganda mengagung-agungkan Dap, memberi bayangan bahawa kerajaan Malaysia hipokrit dalam layanan kepada komunis dan memburuk-burukkan kerajaan lama serta keluarga beliau.
Dalam surat tersebut dinyatakan komik itu adalah pemberian ihsan Muzium Kebudayaan Komik Asia. – UMNO ONLINE
[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2019/10/KENYATAAN-MEDIA-YB-DATO-DR-NORAINI-AHMAD.pdf”]