Ambil Tindakan Tegas… Wong Yan Kee Biadap, Kurang Ajar

KUALA LUMPUR, 15 Okt – “Biadab dan kurang ajar!” demikian bidas Pengerusi Biro Profesional Muda, Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M), Aiman Ja’apar berhubung satu klip video graduan, Wong Yan Ke yang mencemari kelancaran Konvokesyen Universiti Malaya semalam.

Tegasnya, tindakan Wong mengeluar dan menayangkan plakad bertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ ketika berada di pentas majlis istiadat konvokesyen merupakan suatu tindakan yang menghina dan memalukan universiti.

“Sebagai anak muda saya berasa malu dengan kelakuan biadap tersebut dan berharap agar tindakan tegas akan diambil terhadap Wong Yan Ke agar dapat menjadi contoh dan tauladan kepada graduan dan anak muda lain,” katanya kepada UMNO-Online.

Katanya, biar apapun alasan yang digunakan oleh Wong Yan Ke sewajanya sebagai mahasiswa dari universiti terulung pasti tahu adab dan tatacara dalam majlis rasmi.

“Jika berswafoto pun diambil tindakan, sudah pasti tindakan biadab Wong juga harus dikenakan tindakan keras bagi menjaga imej Universiti Malaya sebagai universiti ke-70 terbaik dunia,” katanya.

Beliau merujuk hal tersebut kepada laporan laporan Astro Awani pada 17 Mei 2015, berkaitan pelajar yang mengambil gambar ‘selfie’ di atas pentas sewaktu majlis konvokesyen UiTM, Muhammad Hasrul Haris Mohd Radzi, 21, dikenakan tindakan digantung pengajian sebagai hukuman selepas dikatakan tindakannya sebagai memalukan UiTM.

“Tingkah Wong amat memalukan walaupun ada yang menganggapnya sebagai hak dan kebebasan bersuara, namun dalam acara rasmi sedemikian ia tidak sewajarnya berlaku.”

Dikatakan Wong bertindak sedemikian bagi membantah ucapan Naib Canselor UM Datuk Dr Abdul Rahim Hashim ketika Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Wong juga merupakan individu yang menimbulkan kekecohan semasa kehadiran Datuk Seri Najib Razak di Restoran Amjal.

Wong Yan Ke, graduan Kejuruteraan Awam UM itu turut menjerit “ini tanah Malaysia”, selepas menerima ijazahnya di atas pentas.

Dilaporkan, satu laporan polis telah dibuat oleh Pegawai Keselamatan UM di Balai Polis Pantai kira-kira jam 12.32 tengah malam tadi sementara UM dalam kenyataan menyifatkan perbuatan dan tindakan graduan itu jelas tidak menghormati istiadat dan mengganggu protokol serta kelancarannya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit