Tiga Fasa Utama Untuk UMNO Pulau Pinang Bangkit Dan Kukuh – Dr Zahid

PERMATANG PAUH, 13 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan terdapat nikmatnya apabila Allah SWT menurunkan kuasa UMNO dan tetapi ada hikmah atau ibrah kepada UMNO.

Jelas beliau, hikmah ini sangat besar nilainya apabila parti keramat UMNO dapat kembali bersama PAS setelah berpisah kian lama.

“Ibrah ini terlalu mahal harganya tetapi ada rahmatnya apabila kita hilang kuasa dan nikmatnya apabila kita dapat bersama dengan PAS dan kita kekalkan hubungan dengan parti gabungan kita.

“Terdapat tiga fasa utama adalah fasa penyucian atau pun pembersihan, fasa kemantapan atau pengukuhan parti UMNO, fasa penyatuan sebelum diterjemahkan pembentukan Muafakat Nasional peringkat negeri,” katanya semasa merasmikan Konvensyen UMNO Pulau Pinang, pada hari ini, di sini.

Tambahnya lagi, UMNO telah melalui fasa yang tidak dijangkakan iaitu fasa kekalahan kecuali di negeri Perlis dan Pahang. UMNO mempunyai 3.8 juta ahli UMNO dan parti telah melakukan pembersihan yang turut dalam senarai keahlian, sama ada mereka telah meninggal atau meninggalkan parti.

“Apabila proses penyucian ini berlaku saya lihat Pulau Pinang ini masih kukuh dan tinggi semangatnya dan fasa penyucian ini berlaku dengan sendirinya,” katanya lagi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga mengatakan itu adalah proses kematangan.

“Kita lihat ‘authentic’ ini sedang berlaku dalam kematangan politik UMNO dan kematangan ini tidak bersendirian.

“Fasa pemantapan adalah pengukuhan parti yang mana daki-daki yang telah keluar bererti tiang seri yang di rumah sudah bersih apatah lagi ia disaluti warna hitam,” tambahnya.

Katanya lagi, UMNO kagum dengan PAS dengan semangat yang diberikan dan itu sebab mereka (PAS) boleh bertahan dan ia perlu dipelajari dari mereka tetapi mereka juga harus belajar dari segi pentadbiran dari kita yang ‘tip top’.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menjelaskan UMNO harus belajar di antara satu sama lain.

“Kalau kita katakan strategik maka ia tidak akan jadi stategik sebab orang akan tahu tetapi kalau menyebutkan penyatuan ummah, kombinasi pengukuhan ini akan menyebabkan bahawa kita mengukuhkan UMNO, PAS serta Barisan Nasional (BN).

“Rakyat mula menyampah dan meluat apa yang dilakukan dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH), insya-Allah … Pulau Pinang dan Putrajaya akan kita ambil pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 nanti.”

Fasa penyatuan ummah ini bagaimana Wanita UMNO bersama Muslimat PAS menjalinkan hubungan dengan baik seolah-olah ada ‘chemistry’. Malah sayap Puteri dan Pemuda pun sama hubungannya dengan Ameera dan Jabatan Amal, kata beliau lagi.

“Saya cukup terkejut dalam Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) baru-baru ini yang Sayap-sayap UMNO boleh bekerjasama dengan Muslimat, Ameera dan Jabatan Amal.”

Ketiga-tiga fasa ini harus diketengahkan dalam konvensyen ini walaupun ramai yang mengatakan Pulau Pinang ini tidak ada potensi langsung untuk UMNO dan PAS bersatu, ujarnya.

Konvensyen tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Bagan, Datuk Dr Ir Hussein Mydin, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad, Naib Ketua Wanita UMNO merangkap Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang,Tuan Hj Bukhari, Setiausaha KIMMA, saudara Hasihim serta ahli-ahli UMNO Pulau Pinang.- UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit