Semangat Ahli UMNO Pulau Pinang Semakin Membara – Musa

PERMATANG PAUH, 13 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata semangat ahli UMNO negeri itu semakin membara pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Jelas beliau, semua pemimpin dan pendukung parti kini mempunyai tahap semangat yang tinggi untuk memartabatkan UMNO di negeri itu.

“Inilah semangat yang ada pada kami dan akan teruskan.

“UMNO Pulau Pinang sudah bersedia untuk ambil-alih negeri ini.

“Kami tidak lemah semangat kerana kami bersama-sama dengan PAS akan bersatu dan teguh untuk mempertahankan negeri ini,” katanya ketika berucap di Konvensyen UMNO Negeri Pulau Pinang pada hari ini.

Konvensyen UMNO itu dirasmikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO seperti Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin merangkap Ketua UMNO Bahagian Bagan dan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Turut hadir, Naib Ketua Wanita UMNO merangkap Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Bukhari Ghazali dan kepimpinan KIMMA.

Tambah Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, walaupun UMNO kini ditekan dengan pelbagai tekanan seperti akaun dan aset dibeku tetapi semangat ahli UMNO tidak sesekali boleh diperkotak-katikkan.

“Kita terus berjuang…lawan tetap lawan,” tegasnya lagi.

Dalam ucapannya Musa turut mengulas mengenai Bajet 2020 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, juga Setiausaha Agung Dap Jumaat lalu yang dilihat tidak menyebelahi kaum Melayu.

“Baru-baru ini dapat RM100 juta projek kereta kabel di Bukit Bendera, ayah siapakah di Bukit Bendera? Menguntungkan siapa?

“(Begitu juga) Mana mungkin orang Melayu hendak beli rumah dengan harga RM600 ribu.

“Dulu BR1M dia (PH) kutuk sekarang dia ludah dan jilat semula. UMNO Pulau Pinang akan terus memperjuangkan rakyat,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit