Penggalian Potensi Untuk UMNO Perak Cukup Besar – Zahid

IPOH, 12 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO Perak harus melaksanakan penggalian potensi dengan segera.

Jelasnya, kepimpinan UMNO melihat potensi yang begitu besar untuk Perak khususnya UMNO, Barisan Nasional (BN), PAS dan rakan-rakan politik lain kini di negeri itu berdasarkan pengalaman UMNO Perak pernah terdampar selama sebelas bulan.

“Ketika kita menjadi pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 lalu, selepas itu kita mengambil alih negeri Perak. Kali ini lebih setahun setengah menjadi pembangkang dan lihat penggalian potensi negeri Perak harus dilakukan dalam konvensyen ini.

“Penggalian ini penting kerana rakyat seluruhnya mengharapkan UMNO, BN serta PAS apatah lagi kesepakatan kita dalam penyatuan ummah dan menandatangani perjanjian piagam penyatuan ummah untuk kita membentuk satu persepakatan yang baru dan ditunggu-tunggu oleh rakyat,” katanya ketika merasmikan Konvensyen UMNO Negeri Perak, di sini hari ini.

Dr Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengatakan penggalian dan potensi itu adalah suatu kemestian bagi semua pendukung parti.

“Dalam tempoh terdekat dengan gelodak-gelodak suasana politik di Perak, potensi amat besar dengan kepimpinan mantap dan jitu.

“Kami menanti, melihat dan mengharapkan dengan kepimpinan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad serta negeri Perak, ini potensinya dalam waktu paling terdekat.

“Kalau diamati ucapan Presiden UMNO dan PAS (ketika Piagam Muafakat Nasional), satu pertiga intipati ucapan meletakkan kepelbagaian majmuk rakyat dengan pelbagai budaya harus diambil kira sebagai keutamaan,” tambahnya.

Dengan kepelbagaian dan kemajmukan yang wujud di Perak dan tidak mustahil intipati yang diucapkan oleh kedua-dua Presiden itu menjadi lebih kukuh dan mengeratkan hubungan yang semakin renggang, ujarnya lagi.

Mengenai jurucakap seramai 25 orang yang akan berucap pada konvensyen UMNO Perak, beliau mengharapkan kesemua pandangan mereka diambil serius oleh kepimpinan parti.

“Saya mengharapkan kesemua jurucakap ini dapat menggali potensi dan pendapat serta diambil kira ,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.